BATU PAHAT – Seorang duda memberi alasan mahu bincang hal bisnes semasa ditangkap khalwat Jabatan Agama Islam Negeri Johor JAINJ) di sebuah rumah teres di sebuah taman di sini kelmarin.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, penguat kuasa melakukan serbuan pukul 8.15 pagi selepas mendapat aduan awam.
“Sampai di lokasi, penguat kuasa melihat kereta milik wanita berada dalam garaj berpagar dalam rumah. Dua penguat kuasa ditugaskan di belakang rumah untuk cegah suspek melepaskan diri.
“Penguat kuasa mengetuk pintu dan memanggil tetapi tidak dijawab. Dalam 10 minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang wanita yang memakai telekung labuh dan berseluar panjang,” maklum kenyataan itu.
Penguat kuasa memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa seterusnya masuk ke rumah untuk pemeriksaan.
JAINJ memaklumkan, keadaan ruang tamu kemas dan tiada orang lain ditemui di situ sebelum membuat pemeriksaan di bilik belakang dan menemui seorang lelaki sedang nyorok di belakang pintu.
Wajah lelaki berkenaan pucat dipercayai ingin melarikan diri melalui pintu belakang tetapi dihalang penguat kuasa yang sudah mengawalnya bagi mengelak mereka melarikan diri.
“Lelaki ini hanya berseluar panjang dan tidak memakai baju. Baju lelaki dijumpai atas kerusi dalam bilik. Pemeriksaan di katil didapati berselerak, cadar dan bantal bersepah dan selimut jatuh ke lantai.
“Dalam almari pula dijumpai pakaian wanita dan tiada pakaian lelaki. Pemeriksaan seterusnya di bilik tingkat atas tidak menemui sesiapa dan mereka disahkah berdua sahaja dalam rumah itu,” kata kenyataan itu.
Siasatan mendapati mereka bukan suami isteri dan wanita itu berumur 30-an berstatus janda, lelaki pula berusia 40-an berstatus duda dan kedua-duanya sudah pun bercerai.
“Ini adalah rumah wanita dan lelaki dikatakan datang ke rumah ini dalam pukul 7 pagi dengan menaiki motosikal dan masuk ikut pintu belakang.
“Mereka sudah lama berkenalan dan sering berjumpa kononnya atas urusan perniagaan. Apabila ditanya apa tujuan lelaki itu datang ke rumah itu, mereka kata hendak bincang pasal bisnes.”
Apabila penguat kuasa bertanya sama ada mereka ada hasrat untuk bernikah, mereka mendakwa ada perancangan tapi belum ditetapkan tarikh tersebut.
Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997. – MalaysiaGazette
















