Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri Tahun 2026 di Dewan De Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang memperkenalkan varian baharu pasport Malaysia serta MyKad yang dilengkapi ciri keselamatan tambahan bagi memenuhi keperluan semasa dan perkembangan teknologi.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan inisiatif itu dijangka bermula pada penghujung suku kedua atau awal suku ketiga tahun ini, selari dengan hala tuju strategik kementerian bagi tahun 2026.

“Kami ada beberapa pencapaian penting. Ini signifikan kerana pasport Malaysia kini berada di kedudukan ketiga paling dipercayai, diukur berdasarkan pemegang pasport Malaysia tidak memerlukan kelulusan visa untuk perjalanan ke banyak negara,” katanya.

Beliau berkata, tahap kebolehpercayaan itu menjadi kayu ukur utama dalam memastikan integriti dokumen perjalanan negara terus berada pada tahap tertinggi.

“Itu kayu ukur yang penting. Semalam saya ditaklimatkan oleh Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Zakaria Shaaban) bersama Ketua Setiausaha KDN (Datuk Awang Alik Jeman) mengenai status kebolehpercayaan pasport kita.

“Jadi, kita akan memiliki pasport berwajah baharu bagi rakyat Malaysia dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 di Dewan Seri Endon hari ini.

Untuk rekod, pasport Malaysia kini berada dalam kelompok terbaik dunia dan tersenarai dalam 10 pasport paling dipercayai berdasarkan kemudahan perjalanan tanpa visa atau dengan keperluan visa minimum ke pelbagai negara.

Menurut Saifuddin Nasution, setiap dokumen keselamatan mempunyai tempoh penggantian tertentu dan Malaysia kini telah melepasi tempoh yang memerlukan pengeluaran versi baharu bagi memastikan tahap integriti terus terpelihara.

“Pasport dan MyKad baharu ini akan menampilkan ciri keselamatan yang lebih terjamin khususnya bagi meningkatkan integriti dokumen serta mengekang risiko pemalsuan,” jelasnya.

Sehubungan itu kementerian akan membuat hebahan awal kepada orang ramai sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pelaksanaan bagi mengelak orang ramai berpusu-pusu membuat permohonan pasport atau MyKad baharu lebih awal daripada keperluan sebenar.

Beliau turut menegaskan pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga tamat tempoh sah laku masing-masing sebelum tarikh kuat kuasa dokumen baharu diumumkan secara rasmi.

“MyKad adalah dokumen keselamatan. Selepas satu tempoh, kita wajib memperkenalkan ciri baharu mengikut perkembangan teknologi bagi mengelakkan isu pemalsuan.

“Spesifikasi pengguna sudah dibangunkan dan disahkan oleh Jabatan Imigresen serta Jabatan Pendaftaran Negara. Proses seterusnya ialah mewar-warkan kepada rakyat lebih awal, iaitu enam bulan sebelum pelaksanaannya,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport atau MyKad kerana dokumen sedia ada kekal sah sehingga tamat tempoh masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang telah diluluskan sebelum ini dijangka berkuat kuasa pada Jun atau Julai tahun ini.

Katanya, tempoh masa yang diambil adalah bagi memastikan semua persiapan dibuat secara rapi demi kelancaran pelaksanaan RUU tersebut.

“Antara yang paling penting ialah melakukan beberapa pindaan terhadap versi bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi Citizenship Regulation 1964.

“Kami juga perlu menyediakan dokumen dan borang berkaitan serta memaklumkan kepada wakil Malaysia di seluruh dunia sebelum mendapatkan perkenan perwartaan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast