BUTTERWORTH – Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung penyelesaian saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tertuduh, Awang Azizan Awang Jana, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih berkhidmat di Balai Polis Nibong Tebal didakwa dengan curang memperdaya seorang wanita berusia 53 tahun dengan mendakwa mampu menyelesaikan empat saman PDRM berjumlah RM850 milik adik lelaki mangsa dengan bayaran RM620.
Perbuatan itu mendorong wanita berkenaan membuat pindahan wang berjumlah RM620 ke akaun Bank Islam milik tertuduh sedangkan perkara itu diketahui tidak benar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Nibong Tebal, dalam daerah Seberang Perai Selatan, pada 12 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding, Noor Azura menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung isteri, tiga anak serta seorang adik yang menghidap kanser.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Februari depan. – MalaysiaGazette
















