KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada RM1 juta kepada RM1.3 juta disifatkan tidak memberi manfaat kepada majoriti pencarum.
Aktivis sosial, Shahir Adnan berkata, dasar baharu itu sekiranya diluluskan kelak boleh menjejaskan seramai 130,000 pencarum KWSP, dengan kira-kira 70,000 orang tidak mempunyai pekerjaan, terutama yang diberhentikan kerja.
Sehubungan itu, ujarnya, mereka bergantung dengan dividen KWSP yang didepositkan ke akaun untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk membayar komitmen pinjaman kewangan.

Ujarnya, had baharu RM 1.3 juta menyebabkan mereka hilang punca untuk meneruskan kehidupan dan tidak menyelesaikan masalah sebenar rakyat, sebaliknya melebarkan jurang ketidaksamaan.
“Dalam keadaan ekonomi semasa, ramai pekerja diberhentikan kerja dan ramai yang kehilangan punca pendapatan tetap.
“Ramai yang bergantung sepenuhnya kepada simpanan KWSP untuk kelangsungan hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, KWSP mengumumkan akan menaikkan penanda aras lebihan simpanan bermula tahun ini bagi memberi lebih fleksibiliti kepada ahli dalam merancang persaraan.
Menerusi dasar baharu itu, lebihan simpanan akan ditakrifkan sebagai melebihi RM1.1 juta dengan ahli dibenarkan membuat pengeluaran apabila jumlah simpanan melepasi paras baharu iaitu RM1.1 juta pada 2026; RM1.2 juta pada 2027 dan RM1.3 juta pada 2028, berbanding penanda aras semasa sebanyak RM1 juta.
Sementara itu, Shahir berkata, kenaikan had pengeluaran KWSP bukan penyelesaian kepada masalah ekonomi rakyat, kerana ia dinilai tidak adil, tidak inklusif dan tidak selari dengan kepentingan rakyat.
Menurutnya, dasar itu juga boleh menyebabkan ramai golongan T20 jatuh ke dalam kategori M40 dan B40, sekali gus boleh melemahkan ekonomi negara. – MalaysiaGazette
















