KUALA LUMPUR – Pasangan panda gergasi baharu iaitu Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina) yang tiba dari China pada 18 November 2025 telah selesai menjalani tempoh kuarantin.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, berdasarkan pakar veterinar negara China dan Zoo Negara, pasangan panda ini secara keseluruhannya dalam keadaan yang baik.
Berikutan itu, katanya, negara China bersetuju untuk membenarkan Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara dibuka kepada orang awam.
“Saya akan mengumumkan tarikh pembukaan PKGP dalam tempoh masa terdekat,” katanya selepas mengadakan lawatan di PKGP, Zoo Negara hari ini.
Katanya, semasa lawatan tersebut, Chen Xing dan Xiao Yue telah menunjukkan tingkah laku normal dan aktif yang menandakan tahap penyesuaian yang baik.
Arthur juga berpuas hati dengan fasiliti PKGP untuk meningkatkan kebajikan panda gergasi dan keselesaan pengunjung termasuk menaik taraf eksibit utama, reka bentuk dalaman, landskap dan penggantian chiller menggunakan peruntukan yang disediakan oleh kementerian tersebut.
Katanya, semasa lawatan tersebut, Chen Xing dan Xiao Yue telah menunjukkan tingkah laku normal dan aktif, menandakan tahap penyesuaian yang baik.
Pasangan Chen Xing dan Xiao Yue merupakan ikon hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan China untuk mengukuhkan kerjasama di antara kedua-dua negara.
Sehingga kini, China telah menjalankan kerjasama antarabangsa untuk konservasi dan penyelidikan panda gergasi dengan 20 negara termasuk Malaysia.
Perjanjian kerjasama dengan dimeterai bersempena dengan Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia pada 16 April 2025.
Pemeteraian perjanjian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia dan China Wildlife Conservation Association (CWCA) ini membolehkan Malaysia menerima pasangan panda gergasi baharu untuk tempoh 10 tahun mulai 2025 hingga 2035. – MalaysiaGazette
















