PUTRAJAYA – Kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara akan diperketatkan sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, tanpa menjejaskan kelancaran pergerakan pelancong, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, agensi di bawah kementeriannya khususnya Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS) berperanan sebagai barisan hadapan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, keutamaan KDN adalah memastikan keseimbangan antara kelancaran mobiliti pelawat dengan keperluan keselamatan yang tidak boleh dikompromi.
“Mobiliti pengunjung tidak harus kelihatan terganggu, yang kedua jangan berkompromi dari segi isu keselamatan. Yang ketiga adalah tingkatkan kutipan bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebab elemen itu ada dalam elemen AKPS juga,” katanya dalam sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 di Dewan Seri Endon hari ini.
Saifuddin Nasution menjelaskan, fungsi utama kutipan hasil kekal di bawah bidang kuasa JKDM namun komponen pemeriksaan, taksiran dan pembayaran turut melibatkan peranan AKPS.
Kerjasama strategik antara kedua-dua agensi itu penting bagi memastikan kawalan sempadan lebih berkesan, selari dengan peningkatan kemasukan pelawat antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan akan melengkapkan pemasangan sistem autogate di pintu masuk utama negara bagi mempercepat proses pemeriksaan imigresen serta meningkatkan tahap keselamatan.
Pemasangan sistem berkenaan melibatkan lokasi strategik termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pulau Pinang, Kota Kinabalu serta Sarawak.
Menurut beliau, penggunaan teknologi tersebut selari dengan keperluan menghadapi lonjakan jumlah pelawat menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, seramai 35 banduan di Penjara Kajang berjaya bergelar huffaz ketika menjalani tempoh hukuman.
Banduan terlibat, kata Saifuddin Nasution bukan disabitkan kesalahan ringan sebaliknya jenayah indeks termasuk penyalahgunaan dadah namun modul pemulihan penjara berjaya mengubah mereka.
“Bayangkan seorang individu melalui proses keadilan dan berakhir di penjara, kemudian modul pemulihan merubah mereka menjadi huffaz,” katanya dalam sidang media sama.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak supaya program huffaz diperluaskan ke penjara lain di seluruh negara.
“Setakat ini, kita ada 41 buah penjara dan bayangkan jika satu gerakan tersusun dilakukan untuk memperluas modul huffaz itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jabatan Penjara kini menyediakan 22 rumah perantaraan bagi bekas banduan yang tamat hukuman tetapi belum diterima keluarga, membolehkan mereka tinggal sementara, bekerja pada siang hari dan kembali pada waktu malam sehingga diterima semula oleh masyarakat. – MalaysiaGazette
















