Zarina menunjukkan gambar Nor Shahidah yang meninggalkan anak perempuannya selepas dilahirkan di HSA, Johor Bahru, sembilan tahun lalu.

BATU PAHAT – Seorang wanita sedang mencari ibu kandung kepada anak angkatnya bagi tujuan menyelesaikan urusan dokumentasi pengambilan anak angkat secara sah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Zarina Ibrahim, 46, berkata, Kaseh Nur Alisha Abdul Hakim, 9, telah diserahkan ibu kandungnya kepadanya selepas dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 25 Februari 2017.

“Sepanjang tempoh berpantang, wanita yang dikenali sebagai Nor Shahidah Ahmad Yazid yang ketika itu berusia 28 tahun tinggal bersama-sama saya sebelum menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Pondok Labu di Keladi, Kedah.

“Sebelum pulang, dia ada minta tolong untuk saya mengasuh anaknya itu dan menyerahkan Surat Daftar Kelahiran sebagai dokumen untuk urusan kesihatan di samping berjanji akan mengambil semula sebaik selesai urusan di kampung.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya juga meminta dia menyertakan surat sumpah ke atas penyerahan sementara anaknya itu namun tidak menyertakan surat pengangkatan daripada pihak JKM,” katanya ketika ditemui.

Selama tempoh menjaga Kaseh Nur Alisha, dia mendakwa telah mengutuskan beberapa surat mengikut alamat yang diberikan semasa penyerahan namun tidak mendapat sebarang maklum balas hingga kini.

Ujarnya, sebagai jaminan masa depan Kaseh Nur Alisha, beliau berharap Nor Shahidah dapat menghubungi atau menemuinya untuk melunaskan urusan anak angkat atau menyelesaikan masalah proses kad pengenalan agar tiada masalah berbangkit pada masa akan datang.

“Mereka yang mengenali Nor Shahidah atau dirinya sendiri dapat menghubungi saya menerusi talian 019-7889345 agar dapat mengatur temu janji bagi menyelesaikan semua urusan berkaitan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast