Azam Baki

KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan membuat pertuduhan ke atas seorang pegawai pengurusan tertinggi tentera dalam masa terdekat berkait isu rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap individu terbabit kini di peringkat akhir dan jika dipersetujui Peguam Negara (AGC), pegawai itu akan dibawa ke mahkamah bagi pendakwaan.

Katanya, siasatan kini terarah kepada pegawai pengurusan tertinggi tersebut dahulu sebelum wujudnya perkembangan yang melibatkan pihak lain.

“Ini satu perkara yang tidak boleh dibiarkan. Kalau saya tidak mengambil tindakan akan timbul persepsi dan kedua saya akan berasa bersalah apabila tanggungjawab saya tidak tertunai.

“Ia seolah-olah kes besar lepas tapi kes kecil tidak lepas dan ini adalah satu ketidakadilan,” katanya ketika dihubungi media namun enggan mengulas lanjut.

“Namun bagi saya keadilan ini bergantungan kepada situasi, dalam hal ini semakin besar pangkatnya jika seseorang itu melakukan kesalahan perlu di bawa ke mahkamah.

“Pegawai tertinggi ini akan dituduh terus dan saya akan meminta cadangan daripada AGC untuk menuduh. Kita tidak mahu sekadar tangkapan dibuat dan simpan lama individu itu sebaliknya akan terus dituduh,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, individu terbabit disiasat berkaitan isu rasuah membabitkan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Ditanya mengenai jumlah wang rasuah terbabit, Azam berkata, jumlahnya masih belum dapat didedahkan namun kedudukan dan pangkat menjadi fokus utama siasatan.

“Kes yang disiasat ini juga berlainan dengan siasatan yang pernah dijalankan ke atas bekas Panglima Tentera Darat (PTD),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast