Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin

PUTRAJAYA –  Sebanyak 7,097 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang 2025.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan, termasuk bercukai dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.88 bilion.

“Pencapaian ini merekodkan peningkatan ketara sebanyak 15.33 peratus atau RM250.71 juta berbanding nilai rampasan RM1.63 bilion pada tahun 2024.

“Prestasi ini mencerminkan keupayaan dan ketegasan JKDM dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan bagi melindungi hasil negara serta mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Kejayaan JKDM dalam Kutipan Hasil dan Kes Penguatkuasaan sepanjang 2025 di Ibu Pejabat JKDM, di sini, hari ini.

Anis Rizana turut memaklumkan, nilai rampasan untuk lima komoditi utama yang direkodkan bagi tahun 2025 melibatkan dadah, kenderaan, rokok, minuman keras, mercun serta bunga api.

“Bagi komoditi dadah, sebanyak 734 kes direkodkan melibatkan rampasan seberat 7,738.39 kilogram (kg) dengan nilai rampasan RM490.75 juta.

“Rampasan kenderaan pula membabitkan 516 kes melibatkan 6,535 unit dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM190.27 juta.

“Komoditi rokok pula, sebanyak 2,472 kes direkodkan dengan rampasan 566.58 juta batang rokok, melibatkan nilai cukai RM105.51 juta dan duti serta cukai RM391.76 juta, menjadikan jumlah nilai rampasan RM497.27 juta,” jelasnya.

Bagi rampasan minuman keras pula, beliau berata sebanyak 920 kes dengan kuantiti 150.43 juta liter, membabitkan nilai cukai RM35.63 juta dan duti serta cukai RM92.83 juta, dengan jumlah keseluruhan RM128.46 juta.

Manakala bagi komuditi mercun dan bunga api, sebanyak 141 kes direkodkan melibatkan rampasan seberat 502,296 kilogram dengan jumlah nilai rampasan RM22.69 juta.

“Selain itu, 2,314 kes membabitkan lain-lain komoditi turut direkodkan, termasuk daging dan ayam beku, tekstil, tayar, alat ganti kenderaan, alat telekomunikasi, mata wang dan lain-lain dengan jumlah nilai rampasan RM556.30 juta,” katanya.

Anis Rizana menambah, JKDM telah melaksanakan peralihan strategik daripada pendekatan penguatkuasaan berasaskan output iaitu bilangan kes kepada pendekatan berasaskan outcome yang menumpukan kepada nilai rampasan serta duti dan cukai yang terlibat.

“Bagi tahun 2025, JKDM meneruskan dan memperkukuh pelaksanaan pendekatan berasaskan outcome dengan memberi tumpuan kepada kes-kes berimpak tinggi, khususnya kes berskala besar yang melibatkan kontena, bagi memaksimumkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan.

“Pendekatan berfokus ini membolehkan JKDM bukan sahaja melindungi dan memelihara hasil negara, malah mengekang aktiviti penyeludupan serta perdagangan haram,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast