Temubual Eksulusif SkopMG bersama Mohamed Haniff Khatri Abdulla (Peguam) di Pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan keputusan Pejabat Peguam Negara, semalam yang meletakkan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) terhadap kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi sebagai sesuatu yang aneh dan pelik.

Jelasnya, perkara itu dapat dilihat menerusi tarikh pengguguran 47 pertuduhan tersebut iaitu pada 4 September 2023.

Selain itu, Mohamed Khatri turut mempersoalkan pelantikan Mohd Dusuki sebagai Peguam Negara.

Katanya, Mohd Dusuki adalah timbalan pendakwa raya yang telah memohon agar semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid digugurkan pada 4 September 2023 yang membawa kepada keputusan mahkamah bahawa Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan.

“Jangan kita lupa Peguam Negara telah memberi aku janji kepada mahkamah bahawa mereka akan menyiasat kesemua representasi dan kemudian akan membuat keputusan berkaitan dengan apa-apa tindakan lanjut itu.

“Dua tahun empat bulan dan empat hari yang lalu, tapi saya minta semua rakyat semak rekod-rekod laporan media, kenyataan-kenyataan daripada pejabat peguam negara.

“Ada atau tidak satu kenyataan sekalipun dalam tempoh itu di mana pihak AGC memberi perkembangan siasatan berhubung dengan 47 pertuduhan tersebut? Tidak ada,” katanya dalam satu hantaran video.

Mohamed Haniff turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang diam membisu untuk tempoh yang begitu lama namun tiba-tiba mengeluarkan kenyataan untuk memuktamadkan penutupan fail tersebut secara NFA.

Katanya, AGC patut mengeluarkan kenyataan pada masa kajian penubuhan Yayasan Akal Budi dibuat selain mengumumkan jumlah saksi serta kertas keterangan yang telah dirujuk jabatan itu sebelum kes digugurkan.

Sementara itu, Mohamed Haniff menjelaskan, dari segi perundangan keputusan NFA oleh AGC tidak bermaksud fail tersebut tertutup selama-lamanya.

“Rakyat yang tidak tahu bahawa tiada kesan daripada keputusan AGC membuat NFA akan menganggap kononnya fail Ahmad Zahid berkaitan Yayasan Akal Budi dengan 47 pertuduhan tidak boleh dibuka langsung sampai kiamat.

“Institusi penting seperti AGC tidak membenarkan mana-mana anasir-anasir luar mencampuri apatah lagi pihak-pihak politik, ini adalah untuk Mohd Dusuki jawab,” katanya lagi.

Semalam, AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melibatkan 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes berkenaan.

Menurut AGC, keputusan tersebut sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes itu selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” ujar kenyataan tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. kalau isu mengenai parti rakan away DAP ATAH OAKATSN HARAOAN awak akan berauara ke.Awaj sangat hipokrit

Comments are closed.