KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menjalankan siasatan segera berhubung penganjuran program “Glamping With Pride” yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat, Selangor.
Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Wira Perkasa), Zool Amali Husin berkata, penganjuran program tersebut menimbulkan kebimbangan awam selepas hebahannya dikesan di media sosial dan platform penganjuran acara dalam talian.
Beliau yang juga dikenali sebagai Bozz Jebat turut mendesak agar siasatan menyeluruh dilakukan terhadap dalang di sebalik penganjuran acara berkenaan.
Ini termasuk mengambil tindakan terhadap penganjur dan pemilik premis yang membenarkan lokasi mereka digunakan bagi program tersebut.
Tegasnya, ini bagi memastikan ruang awam di negara ini tidak disalahgunakan untuk menghidupkan aktiviti yang disifatkan tidak sihat dan bercanggah dengan nilai moral masyarakat.
“Wira Perkasa mendesak pihak penganjur membatalkan segala aktiviti songsang ini dan memastikan tiada lagi aktiviti seumpamanya dianjurkan di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bozz Jebat menegaskan Malaysia merupakan negara yang menolak amalan songsang dan sebarang usaha mempromosikan atau menormalisasikan agenda sedemikian tidak wajar diberi ruang.
Media sebelum ini melaporkan program berkenaan dipromosikan sebagai acara tertutup berkonsep percutian, namun istilah yang digunakan telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
Laporan sama turut menyebut bantahan awam semakin meningkat susulan kebimbangan program tersebut bercanggah dengan nilai agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
JAIS digesa ambil tindakan tegas penganjuran ‘Glamping with Pride’















