Poster program Glamping with Pride yang akan dianjurkan di Selangor, minggu depan.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN), Nurul Syazwani Noh mendesak Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil pendirian jelas dan tegas terhadap penganjuran program ‘Glamping with Pride’ yang akan dijalankan di Hulu Langat, minggu depan.

Tegasnya, kerajaan negeri dan JAIS perlu menyemak semua kelulusan, permit serta kandungan penganjuran program tersebut.

“Kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri atau mengambil sikap lepas tangan. Normalisasi hubungan songsang mesti dihentikan.

“Ruang awam Selangor tidak wajar dijadikan medan eksperimen ideologi yang bercanggah dengan nilai masyarakat majoriti,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Nurul Syazwani yang mengecam keras penganjuran program tersebut menegaskan, acara sedemikian adalah tidak wajar, tidak sensitif dan mencabar nilai agama serta norma masyarakat di Selangor.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang itu, ia bukan sekadar aktiviti sosial biasa kerana program tersebut secara jelas menyasarkan komuniti LBGTQ dan membawa naratif “Pride”

Jelas beliau, ini merupakan satu usaha normalisasi terbuka terhadap hubungan sejenis yang jelas bercanggah dengan nilai agama, moral awam serta kerangka perundangan di Malaysia.

Nurul Syazwani Noh
Nurul Syazwani Noh

Beliau turut mempersoalkan peranan penganjur, Jejaka.org yang didakwanya cuba mempromosikan penyahjenayahan LGBT melalui kandungan digital yang bersifat mengesahkan dan menormalisasikan hubungan sejenis.

Menurut Nurul, keadaan itu berisiko mencetuskan kekeliruan nilai dalam kalangan golongan muda, menimbulkan keresahan masyarakat awam serta menyalahgunakan ruang awam di Selangor untuk mempromosikan agenda yang bertentangan dengan pegangan majoriti rakyat.

Beliau mengingatkan bahawa kebebasan bersuara dan berpersatuan bukan hak mutlak, sebaliknya tertakluk kepada kepentingan moral, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila sebuah persatuan yang menggelarkan organisasi mereka sebagai kumpulan sokongan pemuda ‘queer, gay dan biseks’ memuat naik satu poster di Instagram.

Persatuan itu didakwa bakal menganjurkan program santai ‘Glamping With Pride’ bersama ahli komuniti selama dua hari satu malam iaitu 17 dan 18 Januari, dipercayai di sekitar Hulu Langat.

Pautan pendaftaran program tersebut turut memaparkan lima pilihan gender iaitu lelaki cisgender, perempuan cisgender, lelaki transgender, perempuan transgender dan bukan binari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast