SABAN kali musim cuti sekolah atau acara besar dianjurkan di ibu kota seperti sambutan tahun baru, kita sering disajikan dengan pemandangan timbunan sisa plastik, polisterin dan sebagainya. Melangkah ke tahun 2026, Malaysia bukan sahaja menyambut Tahun Melawat Malaysia, malah kita kini berada di tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13
(RMKe-13), namun mentaliti masyarakat kita masih takuk lama.
Seringkali masyarakat terlepas pandang bahawa sisa yang dibuang ke dalam longkang atau di tepi jalan akan berakhir di lautan. Hampir 80 peratus pencemaran plastik di lautan berasal dari sumber daratan yang dibawa melalui sistem perparitan dan sungai. Adakah kita benar-benar faham bahawa tindakan sambil lewa kita dalam mengurus sampah sebenarnya satu
ancaman terhadap punca rezeki negara iaitu Ekonomi Biru? Kita gagal melihat isu ini sebenarnya berkait rapat dengan kelangsungan Ekonomi Biru negara seperti sektor perikanan dan perlancongan yang bernilai berbilion ringgit.
Bagi mereliasaikan hasrat negara untuk menjadi sebagai peneraju Ekonomi Biru di rantau ini, transformasi mentaliti adalah penting. Apabila sampah memasuki ekosistem laut, sisa plastik terutamanya akan terurai menjadi mikroplastik akan dimakan oleh hidupan laut. Ironinya ia kembali ke meja makan kita.
Di sinilah letaknya ancaman kepada Ekonomi Biru, terutamanya dalam usaha memacu sektor perikanan dan pelancongan marin yang mampan. Bagaimana kita boleh memperkasa Ekonomi Biru seperti yang ditekankan dalam RMK-13 sekiranya lautan kita terus dijadikan pusat perlupusan sampah?
Bermula Januari 2026, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta 672 menguatkuasakan denda RM2,000 serta perintah khidmat masyarakat selama 12 jam. Sebelum ini, hanya denda sehingga RM1000 dikenakan bagi pesalah di bawah Akta 171. Persoalannya adakah pendekatan baharu ini sekadar melangkaui tindakan punitif
seperti sebelum ini?
Dengan adanya perintah khidmat masyarakat selama 12 jam seperti yang telah dilaksanakan olehe beberapa negara maju adalah diharapkan dapat memberikan impak psikologi kepada masyarakat. Ini merupakan satu langkah ke arah mendidik tanggungjawab kolektif dalam masyarakat selain melihat kepada pembaharuan undang-undang ini sebagai pengenalan kepada keadilan restoratif dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal negara dan kelestarian alam sekitar.
Namun, peruntukan denda yang tinggi memerlukan penguatkuasaan berkesan dan menyeluruh. Pihak Berkuasa Tempat (PBT) perlu diberi mandat yang lebih luas menerusi reformasi undang-undang kecil termasuklah yang berkait rapat dengan pengurusan sisa bandar dengan perlindungan ekosistem marin. Misalnya, keperluan untuk meintegrasi antara Perancangan Spatial Marin dengan sistem pengurusan sisa di darat.
Oleh itu, Januari 2026 harus menjadi titik tolak kepada anjakan paradigma masyarakat dalam menguruskan sampah. Denda yang tinggi tidak seharusnya dilihat sebagai bebanan tetapi sebagai perisai undang-undang untuk mempertahankan khanazah laut negara. Kita perlu sedar bahawa kebersihan di darat adalah kunci kepada kekayaan di laut.
Transformasi mentaliti sangat penting sekiranya kita ingin melihat Malaysia muncul sebagai kuasa Ekonomi Biru yang disegani. Undang-undang bertindak sebagai pemangkin tetapi kesedaran sivik adalah tunjang kepada pembentukkan sikap dan nilai bertanggungjawab dalam diri masyarakat.
Dr. Farahdilah Ghazali
Pensyarah Kanan,
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Putra Malaysia
















