KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa berkaitan perlu memberi perhatian serius terhadap jenayah penggunaan MyKad palsu khususnya di Sabah yang sering menjadi sasaran sindiket pemalsuan identiti terutama membabitkan kemasukan warga asing secara tidak sah.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, penggunaan MyKad palsu bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah memberi implikasi besar terhadap kestabilan keselamatan dan sosioekonomi di Sabah.
Apatah lagi, ujarnya, Sabah berdepan cabaran unik sebagai sebuah negeri yang mempunyai sempadan antarabangsa.
“Sabah mempunyai garis pantai dan sempadan darat yang panjang serta kedudukan strategik berhampiran negara jiran.
“Ini menjadikan negeri Sabah terdedah kepada penyusupan individu yang menggunakan MyKad palsu untuk menyamar sebagai warganegara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkenaan sindiket MyKad palsu yang boleh mengancam keselamatan negara dengan menyusup ke dalam sistem keselamatan negara tanpa dikesan.

Sementara itu, Menurut Mohd. Zaki, penggunaan identiti palsu bukan sekadar melibatkan kesalahan dokumentasi, malah membuka ruang kepada aktiviti jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan bantuan kerajaan.
Selain itu, katanya, individu yang memiliki MyKad palsu juga boleh bekerja, mendapatkan rawatan kesihatan, pendidikan serta bantuan subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat yang sah.
“Ini bukan sahaja merugikan negara, tetapi turut menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Dalam konteks Sabah, isu ini juga boleh mengganggu keharmonian sosial dan keselamatan komuniti terutama di kawasan luar bandar dan penempatan berhampiran pantai,” katanya.
Mengulas langkah pencegahan, Mohd. Zaki mencadangkan penguatkuasaan bersepadu antara JPN; Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain ESSCOM diperkasakan di Sabah secara berterusan, bukan hanya dilaksanakan secara bermusim.
Selain itu, beliau menekankan keperluan memperluaskan kempen kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat sebagai orang tengah atau bersubahat dalam urusan pemalsuan dokumen.
“Rakyat perlu faham bahawa memiliki, menyimpan atau membantu mendapatkan MyKad palsu adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.
“Pencegahan jenayah bukan hanya tugas agensi tetapi tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd. Zaki turut mencadangkan penggunaan teknologi biometrik dan sistem pangkalan data bersepadu diperkukuhkan di Sabah bagi memastikan ketulenan identiti individu dapat disemak dengan lebih cepat dan tepat. – MalaysiGazette
















