Keadaan lif yang rosak akibat vandalisme di jejantas pejalan kaki Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Semua lif di jejantas pejalan kaki simpang empat Tanjong Tokong terpaksa dihenti operasi susulan mengalami kerosakan akibat tindakan vandalisme.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lee Seng Hwai berkata, kerosakan itu dilaporkan oleh pemaju yang menyelenggara jejantas selepas menerima aduan daripada orang awam.

Katanya, jejantas dibuka sejak 2023 yang menghubungkan Jalan Fettes ke Jalan Seri Tanjung Pinang itu menjadi sasaran vandalisme serius sekali gus menjejaskan keselamatan dan pergerakan pengguna.

“Pemeriksaan mendapati kerosakan pada lif berpunca daripada cecair yang memasuki sistem pendawaian dan sensor selain panel butang lif dikopek.

“Selain itu, cermin jejantas turut dipecahkan, meningkatkan risiko kepada pejalan kaki serta kenderaan di bawahnya.

“Keadaan ini menyebabkan kesemua lif terpaksa dihentikan sehingga pembaikan selesai,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah Seng Hwai, jangka masa dan kos pembaikan lif serta penggantian cermin masih belum dapat dipastikan setakat ini.

“Lif tersebut penting bagi warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya.

“Malah, tindakan vandalisme ini turut mencemarkan imej Pulau Pinang serta Malaysia di mata pelancong.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan komited menyediakan kemudahan awam, namun usaha ini memerlukan kerjasama masyarakat untuk memastikan kemudahan dapat dimanfaatkan semua lapisan masyarakat tanpa gangguan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast