KUALA LUMPUR – Hasil perbincangan dengan doktor-doktor pakar dari Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan Hospital Kuala Lumpur, diputuskan bahawa rawatan fisioterapi tanpa pembedahan adalah pilihan yang terbaik untuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha Akhbar bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff berkata, Dr Mahathir masih meneruskan rawatan di IJN bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat jatuh pada 6 Januari lalu di kediamannya di The Mines.
“Mengambil kira faktor usia juga, proses pemulihan ini akan memakan jangka masa yang agak lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sufi turut menyampaikan ucapan terima kasih daripada Dr Mahathir dan keluarganya atas keprihatinan dan doa rakyat Malaysia kepada negarawan tersebut.
Menurut beliau, Dr Mahathir masih tidak dibenarkan menerima pelawat kecuali keluarga terdekat buat masa ini.
Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan mengalami patah pinggul selepas terjatuh dari treadmill ketika menjalani rutin senaman hariannya sebelum ke pejabat pada Isnin lalu.















