KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan sebarang usaha menormalisasikan gaya hidup bertentangan dengan ajaran Islam adalah tidak wajar untuk disokong.
Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil menegaskan, Islam menolak sebarang perlakuan yang bercanggah dengan fitrah manusia dan hukum syarak, namun menekankan pentingnya pendekatan dakwah berhikmah serta pendidikan untuk membina kesedaran moral.
Katanya, IKIM mengambil maklum berhubung penganjuran program “Glamping With Pride” oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan komuniti lelaki gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang hangat diperkatakan ketika ini.
Beliau berkata, program tersebut yang dikatakan memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan sokongan komuniti, khususnya berkaitan HIV, perlu ditangani dengan pendekatan berasaskan ilmu, kefahaman dan hikmah selaras dengan prinsip Islam.
Menurutnya, walaupun negara ini menghormati hak asasi individu seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan, tetapi hak tersebut perlu seimbang dengan tanggungjawab moral dan nilai Islam bagi memastikan keharmonian masyarakat dan pembentukan akhlak bangsa.
Tegasnya, IKIM berpandangan, penyelesaian jangka panjang terhadap isu ini perlu berasaskan pendidikan nilai, pengukuhan institusi keluarga serta kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, media dan masyarakat.
Sehubungan itu, kata beliau, IKIM bersedia menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan program pendidikan, wacana dan penyelidikan yang memperkukuh kefahaman Islam dalam konteks kemanusiaan, kesihatan dan kesejahteraan sosial, selaras dengan prinsip rahmah, hikmah dan maqasid syariah. – MalaysiaGazette
















