KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Azlan Shah Al Bakri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB yang baharu, berkuat kuasa 12 Januari 2026.
Pelantikan ini mencerminkan keyakinan Ahli Lembaga Pengarah terhadap kewibawaan serta kepakaran beliau, khususnya dalam ekosistem pengangkutan awam dan tadbir urus organisasi.
Ia juga selari dengan komitmen KTMB untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan rel negara secara berfasa, progresif dan berpaksikan pengguna.
Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah berkata, pelantikan Azlan berdasarkan rekod kepimpinan beliau yang kukuh serta pengalaman mendalam dalam sektor pengangkutan awam.
“KTMB yakin beliau mampu memacu syarikat ke arah pencapaian yang lebih tinggi melalui pendekatan berteraskan tadbir
urus baik, daya saing operasi dan penambahbaikan pengalaman pelanggan,” katanya.
Azlan sebelum ini pernah berkhidmat selama enam tahun sebagai Ketua Pengarah, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan.
Beliau memiliki pengalaman luas dalam ekosistem pengangkutan awam khususnya sektor rel, meliputi aspek kawal selia, perancangan perkhidmatan serta penyelarasan pelaksanaan inisiatif pengangkutan awam di peringkat nasional.
Pengalaman tersebut diyakini dapat memperkukuh hala tuju strategik KTMB sebagai pengendali rel negara.
Sebelum menyertai pihak berkuasa pengangkutan awam, Azlan mempunyai pengalaman dalam sektor korporat serta institusi kewangan, khususnya dalam bidang operasi, pengurusan risiko dan kawalan dalaman.
Mengulas pelantikan tersebut, Azlan berkata menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab. – MalaysiaGazette
















