GEORGE TOWN – Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Jalan Burma di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, seorang lelaki berusia 71 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala seorang lagi penunggang lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 71 tahun dipercayai mengubah laluan secara tiba-tiba dari lorong kiri untuk memasuki simpang menuju ke Lengkok Burma di sebelah kanan.
Katanya, tindakan itu menyebabkan dua buah motosikal lain yang bergerak lurus di lorong tengah gagal mengelak sebelum melanggar motosikal berkenaan dari arah belakang.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal pertama maut di lokasi kejadian manakala penunggang kedua disahkan meninggal dunia di HPP pada jam 1.15 petang.
“Penunggang motosikal ketiga, seorang wanita warga tempatan berusia 19 tahun pula, hanya mengalami kecederaan ringan di kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Perubatan HPP mengesahkan punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat kecederaan di kepala yang konsisten dengan kemalangan jalan raya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















