Far beyond the capabilities of today’s modern society, the Bajau Laut people build their families at sea and live in small, dilapidated homes without complete basic necessities, as captured during a Malaysia Gazette photo survey in the Semporna islands, Sabah. Photo by MOHD ADZLAN, 28 February 2025.

KEBANJIRAN penduduk bukan warganegara di Sabah adalah isu rumit yang memerlukan kesepakatan semua pihak bagi penyelesaian menyeluruh jangka panjang. Dua minggu lepas, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan
Sabah merekodkan jumlah dan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi di Malaysia pada tahun 2025, sebanyak 1.040 juta orang (30.8%).

Ini bermakna, jika seseorang menyusuri mana-mana tempat di Sabah, bagi setiap tiga orang yang ditemui, satu orang adalah warga asing. Walaupun sukar diterima, inilah realiti yang sebenarnya sudah lama membina sehingga mencapai tahap terkini.

Susulan penerbitan laporan berkenaan, media melaporkan kenyataan bersama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dari Parti Warisan yang menegaskan kebimbangan mengenai jumlah dan peratusan penduduk bukan warganegara di Sabah yang begitu tinggi.

Sementara itu, Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dilaporkan membidas ADUN Warisan berkenaan yang dikatakan cuba memutarbelitkan dan mengelirukan data, dengan mengaitkan peningkatan penduduk bukan warganegara di Sabah dengan isu pendatang tanpa izin (PATI). Bersandarkan definisi DOSM, imigran merangkumi semua individu yang menetap di sesebuah negara, yang sama ada lahir di negara lain atau tidak mempunyai kewarganegaraan negara tersebut, termasuk individu tanpa kewarganegaraan atau stateless pada suatu titik masa tertentu.

Maka, jumlah penduduk bukan warganegara yang dilaporkan oleh DOSM merangkumi semua individu yang tinggal di Sabah, sama ada memasuki dan menetap di Sabah secara sah ataupun tidak. Namun begitu, DOSM tidak pula memperincikan secara jelas pecahan penduduk bukan warganegara mengikut kategori seperti pekerja asing yang sah, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan individu tanpa kewarganegaraan.

DOSM juga tidak memperincikan senarai negara asal penduduk bukan warganegara yang menetap di Sabah. Oleh kerana itu, tanpa perincian yang jelas, jumlah dan peratusan besar penduduk bukan warganegara yang dilaporkan di Sabah telah menimbulkan spekulasi, persoalan dan kebimbangan.

Lebih-lebih lagi Sabah berdepan dengan isu legasi penduduk tanpa dokumen yang ramai untuk sekian lama. Pada bulan Oktober 2022, Menteri Dalam Negeri Malaysia dilaporkan berkata Sabah merekodkan lebih satu juta penduduk tanpa dokumen.

Berdasarkan kenyataan ini, bermakna majoriti penduduk bukan warganegara di Sabah yang dilaporkan oleh DOSM merupakan penduduk tanpa dokumen, yang menetap di Sabah secara ‘haram’. Hakikatnya, kebimbangan yang ditimbulkan ada asasnya. Menurut data DOSM, sepanjang tempoh masa lima tahun (2020 – 2025), jumlah penduduk bukan warganegara di Sabah telah melonjak besar 28%, daripada 0.810 juta (2020) kepada 1.040 juta (2025).

Semasa kemuncak pandemik Covid-19 (2020 – 2021), jumlah penduduk bukan warganegara di Sabah telah menurun. Tetapi sebaik sahaja sempadan Sabah dan negara dibuka semula, jumlah tersebut melonjak besar 20% dalam masa satu tahun sahaja, daripada 0.764 juta (2022) kepada 0.921 juta (2023). Walaubagaimanapun, sebenarnya sepanjang tempoh masa lebih 3 dekad (1991 – 2025), jumlah penduduk bukan warganegara di Sabah tertinggi direkodkan pada tahun 2018, seramai 1.158.7 juta orang. Manakala, peratusan tertinggi pula direkodkan pada tahun 1991, dengan 56.5% (0.453 juta orang).

Ini menunjukkan bahawa perubahan ketara telah berlaku:
 jumlah penduduk bukan warganegara di Sabah telah menurun daripada 1.158.7 juta (2018) kepada 1.040 juta (2025).
 peratusan penduduk bukan warganegara di Sabah telah menurun daripada 56.5% (1991) kepada 30.8% (2025).

Di samping itu, kebimbangan ditimbulkan kerana jumlah dan peratusan penduduk bukan warganegara di beberapa daerah di Sabah adalah sangat tinggi melebihi 30%. Malah, di tiga daerah, peratusan penduduk bukan warganegara melebihi penduduk warganegara: Kinabatangan (72.9%), Kalabakan (69.3%), Kunak (53.4%).

Justeru itu, kebimbangan terhadap kebanjiran penduduk bukan warganegara bukan sahaja menjurus kepada persoalan kedaulatan dan keselamatan Sabah. Bahkan, persoalan impak kepada agenda ekonomi dan sosial, yang boleh menjejaskan kesejahteraan serta ketenteraman rakyat Sabah.

Tatkala kemudahan dan infrastruktur awam di Sabah masih belum mencukupi dan menyeluruh, rakyat Sabah terpaksa ‘berebut’ dengan penduduk bukan warganegara. Pastinya ini memberi tekanan hebat kepada kepenggunaan kemudahan awam sedia ada.

Sebagai contoh, bekalan air. Dua tahun lepas, berikutan isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pengerusi Lembaga Pengarah UMS dilaporkan berkata isu tersebut disebabkan, antara lain, oleh koloni setinggan yang besar mencecah 12,000 rumah di Sepanggar, di mana penyambungan haram mengakibatkan kira-kira 18 juta liter sehari (MLD) air dicuri.

Dengan jumlah penduduk bukan warganegara yang ramai, termasuklah penduduk tanpa dokumen, isu kecurian air dan elektrik serta perumahan haram bukanlah terpencil, tetapi berlaku dengan meluas di seluruh Sabah. Justeru itu, Kerajaan Sabah telah bertindak dengan merobohkan perumahan haram. Pada bulan Julai 2024, Pesuruhjaya Polis Sabah dilaporkan berkata Polis Sabah telah merobohkan 1,332 rumah setinggan haram yang dibina di atas tanah milik Kerajaan Sabah di seluruh Sabah.

Menurut beliau, operasi perobohan ini akan di teruskan sehingga dapat membasmi perumahan setinggan haram di Sabah. Namun begitu, tanpa maklumat terkini, tidak dapat dipastikan sama ada matlamat tersebut sudah pun tercapai, dan apa yang berlaku kepada penghuni tersebut. Selain itu, penduduk bukan warganegara turut menimbulkan masalah dan tekanan kepada kemudahan kesihatan, di mana ramai mendapatkan rawatan tetapi gagal membayar bil rawatan. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, sehingga tahun 2023, jumlah keseluruhan bil perubatan warga asing yang tidak dibayar di kemudahan kesihatan kerajaan di Malaysia mencecah RM40 juta, dengan Sabah merekodkan tunggakan tertinggi.

Tambahan lagi, rata-rata penduduk bukan warganegara tanpa dokumen terperangkap di dalam penjara kemiskinan. Tanpa dokumen yang sah, mereka tidak boleh memiliki pekerjaan tetap dengan pendapatan yang stab il, konsisten dan mencukupi. Ini menjadi isu generasi ke generasi, yang sukar serta akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Lebih membimbangkan, tanpa pekerjaan tetap dan pendapatan mencukupi, ramai terbabit dengan aktiviti jenayah yang menjejaskan keselamatan danketenteraman awam di Sabah. Laporan DOSM menunjukkan banduan sabitan bukan warganegara atau convicted non-citizens prisoner di Sabah (termasuk WP Labuan) telah melambung 162% dalam tempoh masa tiga tahun, daripada 3,346 (2021) kepada 8,777 (2024).

Kebanjiran penduduk bukan warganegara jelas memberi impak besar kepada Sabah, dan merumitkan agenda pembangunan sosioekonomi bagi kesejahteraan rakyat Sabah. Maka, semua pihak sewajarnya mengelak daripada menimbulkan sebarang
dakwaan mahupun persepsi yang akhirnya merumitkan isu sedia ada. Sebaliknya, fokus dan bersepakat kepada penyelesaian yang memberi kesejahteraan kepada Sabah, berpandukan kepada prinsip Sabah Bersatu.

Wan Azrain Adnan
Petaling Jaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast