KUALA LUMPUR – Parti Putra menyifatkan Kerajaan Negeri Selangor didakwa hanya mementingkan keuntungan semata-mata apabila merancang untuk membenarkan operasi penternakan babi di kawasan Tanjung Sepat, Kuala Langat sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada 2030.
Naib Presiden Parti Putra, Datuk Asmawar Samat berkata, Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya sensitif dan sedar kekesalan dan bantahan yang disuarakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Apatah lagi, lokasi penternakan babi yang dicadangkan itu berdekatan dengan istana rehat baginda di Sepang.
“Apakah rakyat Negeri Selangor dan orang Melayu Islam tidak terkesan dengan kekesalan Sultan Selangor itu?
“Nampaknya begitulah keadaannya, apabila suara politik Melayu Islam yang waras tidak dipedulikan, malah dilabel sebagai penyebar perkauman (rasis) dan perlu dilenyapkan,” katanya menerusi kenyataan.
Secara sinis, Asmawar juga percaya tiada wakil-wakil rakyat Selangor yang akan menyahut seruan Sultan Selangor supaya tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.
“Hidung mereka bukan tidak tahan bau busuk dan pencemaran, tetapi tidak tahan untuk melepaskan habuan yang bakal diperoleh daripada projek besar yang tidak masuk akal ini,”dakwa beliau lagi.
Asmawar turut menempelak Kerajaan Negeri Selangor yang dikatakan tidak sensitif terhadap keputusan yang dibuat tanpa memikirkan impak dan reaksi rakyat.
“Golongan yang tidak sensitif sememangnya gemar bercakap besar seolah-olah kuasa besar dunia. Jika Trump boleh dengan mudah bercakap mahu menakluk Venezuela dan Greenland, kini ada pula pihak di Malaysia yang sesuka hati menyatakan hasrat menjadikan negara ini sebagai pengeluar daging babi terbesar di dunia.
“Golongan ini juga dilihat tidak gentar dengan PRU ke-16 (Pilihan Raya Umum Ke-16) yang bakal menjelang, apatah lagi apabila disokong rakan kongsi kuasa yang dijadikan tunggangan politik mereka,” tambahnya.
Semalam, Sultan Selangor bertitah bahawa baginda tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang telah berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk. – MalaysiaGazette
Sultan Selangor tak setuju rancangan ternakan babi di Kuala Langat
















