Pengerusi NGO Serantau Muslim, Hakim Mohd Nor diiring pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes menyeleweng dana berjumlah RM26 juta melalui Op Serantau di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyalahgunakan harta pertubuhan berjumlah RM207,000 berkaitan dana misi kemanusiaan luar negara, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor, 39, yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Azrul Darus di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang derma milik pertubuhan itu di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin di sini pada 27 Disember 2019.

Dana tersebut didakwa merupakan sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk disalurkan ke Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan hingga maksimum lima tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Asmaa’ Zamri memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan termasuk tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM terdekat pada setiap awal bulan.

Beliau turut memohon supaya tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada simpanan mahkamah serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Azizul Shariman memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan kes berkenaan bukan di bawah Akta SPRM walaupun disiasat oleh SPRM dan hukuman yang diperuntukkan juga lebih ringan berbanding pertuduhan di bawah Akta SPRM.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan sejak Jun 2025 termasuk direman selama 12 hari selain hadir ke mahkamah seawal pagi bagi prosiding hari ini.

Azizul mendedahkan tertuduh juga berdepan beberapa pertuduhan lain di Mahkamah Melaka dan Ipoh melibatkan jumlah yang lebih besar dan dijangka akan didakwa dalam tempoh terdekat, sekaligus memerlukan tertuduh menyediakan jaminan bagi kes-kes berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya jaminan sekurang-kurangnya RM10,000 bagi kes hari ini ditetapkan pada kadar munasabah agar tertuduh mampu menyediakan jaminan untuk prosiding seterusnya dan memastikan kehadirannya ke mahkamah.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, serta mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM cawangan Melaka selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Beliau juga mengarahkan tertuduh supaya tidak sesekali mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 11 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast