Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah lama mengharamkan kegiatan yang tidak bersahsiah di semua kem di seluruh negara.

Oleh itu, segala budaya hedonisme yang tidak berakhlak juga perlu dibanteras, tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Panggillah dengan apa nama sekali pun, “yeye”, “yaya” atau apa sahaja. Ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan tradisi hidup Islam.

“Tiada wanita harus dijadikan objek seks dan hiburan di mes dan Wisma Perwira kita,” tegasnya.

Bercakap semasa Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 ketika di Wisma Perwira ATM, Mohamed Khaled berkata, Angkatan Tentera Malaysia perlu menguatkuasakan peraturan dan disiplin dengan tegas serta menghentikan segala bentuk buli dan penindasan.

Malah kementerian telah menetapkan peraturan dan garis panduan yang jelas dan tegas berkaitan segala aktiviti sosial yang boleh diadakan di kem.

Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang sepatutnya membendung apa-apa unsur yang mungkar dalam kalangan anggota ATM.

Mohamed Khaled menambah, aktiviti-aktiviti haram dan tidak bermoral sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem ATM dan tiada sesiapa harus menerima segala bentuk perlecehan hak asasi.

“Kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam semua kemungkaran moral ini, yang merosakkan imej mulia ATM, kita akan pastikan anda semua dihukum dan tersingkir dengan keji dari perkhidmatan.

“Sebelum ini kita tidak pernah teragak-agak untuk mengenakan tindakantegas dan menjatuhkan hukuman berat kepada setiap pelaku kesalahan sebegini.

“Jadi, jangan fikir ini amaran kosong!,” tegas beliau.

Mohamed Khaled turut memberi amaran kepada mereka yang menghabiskan masa dengan golf di luar waktu yang dibenarkan, atau sembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja, disiplin ketenteraan akan ditegaskan dan dikuatkuasakan.

Jelasnya,  waktu bekerja adalah masa untuk kerja-kerja yang bermanfaat dan membangun bukan sebaliknya.

“Justeru kembalilah kepada waktu kerja yang sebenarnya dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh. Kembalilah kepada perlakuan sebagai pahlawan yang budiman,” katanya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast