Saifuddin berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah JPN Selangor, Muhammad Hafiz Abdul Rahim, di pejabat jabatan itu di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Sebanyak 1,000 kes kanak-kanak tanpa sijil lahir berjaya diselesaikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor sepanjang tahun lalu, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad.

Menurutnya, ketiadaan sijil lahir bukan isu kecil kerana ia menyebabkan seseorang kanak-kanak hilang hampir keseluruhan keistimewaan sebagai warganegara Malaysia, walaupun dilahirkan oleh ibu bapa tempatan.

“Tiada sijil lahir bermakna akses kepada pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas negara menjadi amat terhad,” tulisnya dalam Facebook beliau sebentar tadi.

Saifuddin berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah JPN Selangor, Muhammad Hafiz Abdul Rahim, di pejabat jabatan itu di sini hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, beliau membangkitkan beberapa isu kritikal yang membabitkan rakyat Selangor, khususnya berkaitan taraf kewarganegaraan, pengeluaran kad pengenalan dan pendaftaran kelahiran.

Beliau turut menekankan keperluan mewujudkan kerjasama sepadu antara JPN Selangor dan 56 Pusat Khidmat di seluruh negeri bagi memastikan setiap peristiwa penting dalam kehidupan rakyat direkodkan secara teratur dan berkesan.

“Ini termasuk pendaftaran perkahwinan bukan Islam, pengangkatan serta kematian supaya tiada rakyat yang tercicir daripada sistem,” ujarnya.

Saifuddin menegaskan pentadbiran negeri kekal komited memastikan hak rakyat terus terpelihara selari dengan usaha memperkasa kecekapan serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

“Kerjasama strategik ini penting bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan tiada sesiapa yang terpinggir daripada akses kepada perkhidmatan asas negara,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast