Gambar JPBM

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor maut manakala sembilan orang cedera dalam insiden letupan kompresor penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa yang maut merupakan warga tempatan berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mangsa meninggal dunia dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan.

“Mangsa yang cedera terdiri daripada empat orang pelajar, dua warga Indonesia merupakan pekerja kafeteria mengalami cedera ringan manakala dua kontraktor tempatan alami cedera parah.

“Siasatan awal mendapati dalam kejadian pukul 11.45 pagi itu letupan kompresor penghawa dingin berlaku di kawasan penyelenggaran yang berada bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti tersebut,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Fadil Marsus

Tambah Fadil, kesemua mangsa telah dikejarkan ke beberapa hospital terdekat bagi mendapatkan rawatan lanjut, termasuk Pusat Perubatan Univeristi Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

Fadil juga memaklumkan, pihak berkuasa bernasib baik kerana kawasan kejadian belum dipenuhi pelajar ketika insiden berlaku berikutan masih ramai yang bercuti.

Mengulas mengenai keadaan di lokasi, beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pasukan Hazmat sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

“Langkah ini bagi memastikan kawasan itu benar-benar selamat dan mengelakkan sebarang risiko letupan susulan. Setakat ini, JBPM sudah mengesahkan kawasan itu selamat sepenuhnya dan siasatan masih diteruskan,” ujarnya.

Tambah Fadil sebelum kejadian, pihak pengurusan universiti telah memanggil juruteknik berikutan terdapat masalah teknikal dan keperluan pembaikan namun kerja membaiki peralatan berkenaan belum sempat dilaksanakan.

Katanya, seramai 38 anggota bomba terlibat dalam operasi hari ini, termasuk pasukan Forensik Bomba, Hazmat serta anggota dari balai berdekatan dan jumlah itu boleh ditambah sekiranya diperlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast