Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menunjukkan air minuman mengandungi dadah yang di rampas pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Narkotik Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengederan dadah dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih hampir sejuta di IPK Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR –  Sindiket pengedaran dadah dalam bentuk botol minuman ala kedai serbaneka 24 jam di sekitar ibu negara berjaya ditumpaskan dengan penahanan seorang lelaki dan rampasan bernilai hampir RM1 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia dilakukan menerusi tiga serbuan di sekitar Kuala Lumpur berdasarkan maklumkan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Serbuan dilakukan sekitar 1 tengah hari pada 7 Januari lalu dan menahan suspek warga tempatan berusia 29 tahun bersama sebuah kereta jenis Toyota Vios di kawasan parking kondominium di Jalan Kuching.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menjumpai sejumlah dadah dan susulan daripada itu, serbuan dilakukan di sebuah rumah di kawasan berlainan serta sebuah kenderaan lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Antara penginapan, kenderaan dan wajah suspek yang ditunjukkan ketika sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Narkotik Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengederan dadah dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih hampir sejuta di IPK Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 JANUARI 2026

Tambah Fadil, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses serta membungkus dadah dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM832,350.

Dadah yang dirampas melibatkan dadah jenis cecair MDMA seberat 867 kilogram (kg) bernilai RM701,850, serbuk MDMA seberat 5.5 kg (RM37,800), 190 katrij vape mengandungi cecair ketamin (RM570,000)

Turut dirampas 306 batang rokok canabis bernilai RM30,600, dadah jenis ketamin seberat 21 gram (RM4,200), dadah jenis esktasi seberat 5.28 gram (RM500) dan pil eramin 5 iaitu 21.08 gram (RM400).

Kartrij vape rampasan yang mengandungi dadah pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Narkotik Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengederan dadah dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih hampir sejuta di IPK Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 JANUARI 2026

Jelas Fadil, modus operandi sindiket itu dengan menjadikan premis kediaman seperti rumah teres dan kondominium sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut suspek dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu dan tidak memiliki sebarang rekod lampau malah ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan dan akan dituduh dalam masa terdekat,” jelasnya.

Berikutan itu kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

“Kita turut menyita harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bernilai RM146,507 melibatkan wang tunai dan dua buah kenderaan dengan jumlah keseluruhan rampasan serta sitaan dianggarkan bernilai RM978,857,” ujarnya.

Tegas Fadil, kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan JSJN IPK Kuala Lumpur serta kerjasama orang awam dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast