Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. foto Selangor Royal Office

SHAH ALAM – Sultan Selangor menentang dan membantah keras terhadap sebarang aktiviti songsang melibatkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dianjurkan dalam Negeri Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini.

Malah, baginda turut tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan dan NGO yang berkaitan dengan LGBT di Negeri Selangor.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan mufti negeri, Datuk Dr. Anhar Opir untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Tegas baginda, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas negeri ini.

Pendirian tegas Sultan Selangor berhubung penganjuran “Glamping with Pride” itu dibuat semasa Pengerusi MAIS dan mufti menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Selaras dengan titah baginda, MAIS dan Mufti Selangor turut menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap sebarang bentuk
penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di Selangor.

MAIS dan Mufti Selangor menegaskan agama Islam telah mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S.

Perbuatan ini adalah perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT dan telah menimpakan azab ke atas kaum Nabi Luth A.S atas perbuatan tersebut.

MAIS dan Mufti Selangor menegaskan, perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S. yang turut diamalkan oleh kumpulan LGBT ini termasuk dalam kategori dosa-dosa besar dan perbuatan tersebut lebih hina berbanding dengan kesalahan zina.

MAIS juga menegaskan umat Islam, khususnya golongan remaja, tidak seharusnya terikut-ikut dengan amalan dan budaya hidup barat yang mengamalkan amalan songsang ini atas dasar kebebasan hak asasi manusia.

“Tidak semua kebebasan hak asasi manusia boleh diterima dan boleh dijadikan sebagai amalan masyarakat Islam jika ianya jelas bercanggah dengan ajaran agama Islam,” kata MAIS.

Berikutan pendirian tegas Sultan Sharafuddin berkaitan dengan isu ini, MAIS dan Mufti Selangor menggesa agar Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program tersebut serta program seumpamanya di Negeri Selangor.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas
mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.

“MAIS dan Mufti Selangor menuntut komitmen semua pihak dalam memelihara kesucian agama Islam untuk memastikan Negeri Selangor kekal
harmoni dan bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast