KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga asing berdepan hukuman penjara maksimum sehingga 55 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini, atas pelbagai pertuduhan termasuk memiliki bahan meterai rasmi bagi tujuan pemalsuan dokumen.
Tertuduh, Ko Ko Lay Rafiq, 54; Kyaw Swar Lin, 30; dan Aung Paing Oo, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Di Mahkamah Sesyen, mereka didakwa secara bersama memiliki bahan meterai rasmi milik Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan Myanmar dengan niat supaya ia digunakan sebagai tulen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 November 2025, jam 9 malam di Residensi Unio, Jalan Kepong.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Manakala di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh didakwa atas tujuh pertuduhan di bawah Akta Pasport iaitu tiga pertuduh mengikut Seksyen 12(1)(a) kerana memiliki pasport palsu dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(f) kerana memiliki pasport milik orang lain.
Selain itu, Kyaw Swar Lin dan Aung Paing Oo turut berdepan pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Sebelum prosiding, Peguam Ammanjeet Singh yang mewakili kesemua tertuduh memohon agar pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu memandangkan tertuduh pertama sudah menetap di negara ini selama 10 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Saravanan Meyappan tidak menawarkan jaminan kerana kesemua tertuduh adalah warga asing tanpa pengesahan dokumen perjalanan yang sah dan memohon tempoh sebulan bagi serahan dokumen kerana melibatkan tiga jilid dokumen yang tebal.
Mahhkamah kemudian menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan, sindiket pemalsuan Kad UNHCR dan dokumen perjalanan pelbagai negara asing berjaya ditumpaskan menerusi operasi khas yang dilaksanakan secara berperingkat di Melaka dan Kuala Lumpur.
Sepanjang operasi yang dijalankan antara 8 November hingga 8 Disember 2025, seramai lapan individu ditahan melibatkan warga asing dan tempatan, termasuk dalang sindiket serta pihak disyaki berperanan membantu kegiatan itu.
Dalam operasi ini, pihak polis turut merampas pelbagai dokumen palsu, termasuk pasport pelbagai negara, kad UNHCR palsu, cop kedutaan dan cop imigresen, selain peralatan lengkap pemalsuan dokumen seperti komputer, pencetak khas dan mesin laminasi.
Pada masa sama, polis turut merampas wang tunai dan mata wang asing bernilai lebih RM48,000 serta sebuah kenderaan.
Kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras kegiatan jenayah terancang, khususnya pemalsuan dokumen yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette
















