Pasukan penyelamat memeriksa kawasan runtuhan tapak pelupusan sampah di tengah Filipina bagi mengesan mangsa yang masih hidup. foto Cebu City Disaster Risk Reduction and Management Office

MANILA -Jumlah korban akibat runtuhan tapak pelupusan sampah di tengah Filipina meningkat kepada 11 orang, menurut pihak berkuasa.

Tanah runtuh itu berlaku di tapak pelupusan sampah Binaliw di Bandar Cebu minggu lalu ketika lebih 100 pekerja berada di lokasi.

Setakat ini, pasukan penyelamat telah mengeluarkan 12 mangsa yang cedera daripada runtuhan, namun lebih 20 orang masih dilaporkan hilang.

Seorang pegawai bomba tempatan sebelum ini kemungkinan untuk “orang masih hidup” adalah tipis selepas tiga hari “bertan-tan runtuhan menimbus mereka”.

Namun, “tanda-tanda kehidupan” telah dikesan dalam runtuhan semasa operasi pencarian pada hari Isnin, kata Datuk Bandar Cebu, Nestor Archival, kepada GMA News.

Insiden ini telah mencetuskan desakan supaya siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca runtuhan, selain menilai semula sistem pengurusan sisa pepejal di negera ini.

Pihak berkuasa alam sekitar kemudiannya mengarahkan Prime Integrated Waste Solutions, Inc., pengendali tapak pelupusan tersebut, untuk menggantung operasi di lokasi berkenaan.

Syarikat itu perlu “mengemukakan pelan pematuhan dalam tempoh 90 hari”, menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli (DENR) tempatan pada hari Isnin.

Jabatan itu juga memaklumkan siasatan akan dijalankan bagi menentukan punca runtuhan dan memastikan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan.

Ahli-ahli Parlimen Filipina turut menggesa supaya sistem pengurusan sisa negara serta keadaan kerja para pekerja sisa dikaji semula.

“Ini sepatutnya tidak pernah berlaku. Kita telah menyaksikan tragedi serupa sebelum ini, namun bahaya yang sama masih berterusan. Kehilangan nyawa di Cebu menuntut jawapan yang jelas dan pembaharuan sebenar,” kata Senator Imee Marcos.

Tapak pelupusan Binaliw terletak di atas tanah seluas 20 hektar (49 ekar), dengan tiga hektar daripadanya digunakan sebagai tapak pelupusan, lapor akhbar Cebu The Freeman dengan memetik pengendali tapak berkenaan.

Walaupun pihak berkuasa masih menyiasat punca tanah runtuh itu, laporan awal daripada Biro Lombong dan Geosains tempatan menunjukkan hujan berterusan sejak beberapa minggu kebelakangan ini telah menyebabkan sisa menjadi lebih berat, selain faktor kejuruteraan lain, menurut laporan media tempatan.

Tapak pelupusan sampah adalah perkara biasa di bandar-bandar utama Filipina seperti Cebu, yang merupakan pusat perdagangan dan pintu masuk pengangkutan bagi wilayah Visayas, iaitu kepulauan tengah negara ini. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast