KUANTAN – Program jualan buku global Big Bad Wolf 2026 kembali ke Kuantan pada 29 Januari ini sebagai hentian pertama jelajah tahunan jualan buku terbesar dunia itu bagi tahun ini.
Acara akan berlangsung di Berjaya Megamall di sini dari 29 Januari hingga 8 Februari 2026 bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Big Bad Wolf 2026 menawarkan jutaan pilihan buku untuk semua peringkat umur merangkumi buku kanak-kanak, remaja, fiksyen, bukan fiksyen serta bacaan gaya hidup dengan tawaran diskaun sehingga 95 peratus.
Bukan itu sahaja, para pengunjung juga berpeluang menikmati promosi eksklusif termasuk penjimatan khas untuk pelajar dan pendidik, keistimewaan untuk pelanggan setia selain manfaat pembelian pukal untuk sekolah, organisasi dan pembeli berkumpulan.
Pengasas Bersama Big Bad Wolf Books, Andrew Yap berkata, tawaran harga buku mampu milik menerusi acara itu diharap dapat meningkatkan pembudayaan amalan membaca yang lebih kukuh dalam masyarakat.
“Di Big Bad Wolf Books, kami percaya akses kepada buku merupakan langkah asas dalam membina tabiat membaca yang kukuh serta menyokong pendidikan di setiap peringkat kehidupan.
“Dengan menjadikan buku lebih mampu milik dan mudah diperoleh, kami berharap dapat menggalakkan pelajar, keluarga dan pendidik untuk membaca dengan lebih kerap, berfikir secara lebih kritis dan membina hubungan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain menawarkan buku karya penulis antarabangsa, Big Bad Wolf 2026 juga membabitkan penjualan hasil karya penulis tempatan yang mempunyai peminatnya tersendiri. – MalaysiaGazette
















