Datuk Fahmi Fadzil

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbangkan untuk menyaman platform media sosial X kerana gagal menjamin keselamatan pengguna khususnya melibatkan kandungan berbahaya dan pendedahan kepada kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut sedang dibincangkan secara serius berikutan kebimbangan terhadap kandungan di platform berkenaan.

“Jika platform media sosial gagal mematuhi keperluan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia termasuk aspek keselamatan pengguna, tindakan undang-undang boleh diambil.

“MCMC kini sedang mempertimbangkan untuk menyaman X kerana kegagalan memastikan keselamatan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ujar Fahmi, MCMC akan mengeluarkan kenyataan terperinci dalam masa terdekat.

Terdahulu, katanya, MCMC memanggil pihak pengendali aplikasi X untuk memberi penjelasan namun ia tidak memadai.

“Pihak X telah memberi maklum balas tetapi ia sangat tidak memadai. Setelah saya mendapat maklum balas daripada MCMC, saya  mengarahkan supaya dikenakan sekatan sementara dipanggil untuk berbincang,” tambahnya.

Fahmi berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah kandungan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di platform itu yang berisiko mencetuskan perdebatan tidak sihat serta kandungan tidak sesuai khususnya kepada golongan bawah umur.

Jelasnya, sehingga kini suruhanjaya berkenaan mengadakan perbincangan berterusan dengan semua platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan Dalam Talian dan undang-undang sedia ada.

“Insya-Allah menjelang pertengahan tahun ini, kita menyasarkan kerjasama penuh semua platform media sosial untuk menghadkan akses dan penyebaran kandungan media sosial tertentu khususnya kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas sahaja,” jelas beliau.

Sementara itu beliau menambah,  kerajaan sudah menyelesaikan isu infrastruktur komunikasi dan kini memberi tumpuan kepada usaha menjadikan internet lebih selamat untuk rakyat terutama kanak-kanak dan remaja.

“Anak-anak kita bermain media sosial setiap hari. Jadi tanggungjawab kerajaan adalah memastikan ruang digital ini selamat dan tidak memudaratkan.

“Kenyataan lanjut serta perincian tindakan yang bakal diambil akan dimaklumkan oleh MCMC dalam masa terdekat,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast