KUALA LUMPUR – Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu meneliti perkembangan terkini berkaitan ladang babi di Selangor dan mengambil pengajaran untuk menyelesaikan masalah ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, masalah pencemaran bau dan pencemaran sungai akibat ladang babi Kampung Selamat sudah berlarutan berdekad-dekad namun tiada kesungguhan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menyelesaikannya.
Menurutnya, isu itu bukan perkara kecil dan hanya dihadapi penduduk Kampung Selamat tetapi turut menjejaskan kawasan sekeliling dengan bau busuk kadang-kala boleh dihidu hingga ke Bertam.
“Benarlah titah Sultan Selangor apabila baginda “mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi”.
“Exco-exco Pulau Pinang juga jangan hanya datang melawat tapi cubalah tinggal di kawasan berdekatan Kampung Selamat. Jangan sekadar membuat polisi dari kemewahan pejabat di George Town sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Saiful, beliau sudah banyak kali membangkitkan mengenai isu ladang babi di Kampung Selamat itu di Parlimen.
Malah, katanya, beliau juga sudah beberapa kali bertemu penduduk yang terkesan dan berdialog dengan penternak babi untuk meminta mereka segera menghentikan pencemaran.
“Tapi apa gunanya semua usaha kita jika Kerajaan DAP Pulau Pinang terlalu lembik dan tiada kesungguhan mahu menyelesaikan masalah ini?
“Adakah Kerajaan DAP Pulau Pinang meletakkan kepentingan industri babi lebih penting daripada kualiti hidup rakyat di kawasan sekeliling yang majoritinya Melayu Muslim yang amat tidak selesa dengan penternakan babi?” soalnya.
Sehubungan itu, Wan Saiful berkata, beliau buat kesekian kalinya menuntut Kerajaan DAP Pulau Pinang menggariskan jadual muktamad untuk ladang babi Kampung Selamat dipindahkan. – MalaysiaGazette
















