KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta mewah yang memandu secara gopoh dan bertindak ala samseng dalam kejadian tular di kawasan Subang Jaya dekat sini telah menyerahkan diri bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu berlaku dipercayai akibat salah faham jalanan antara dua pemandu.
“Siasatan awal mendapati seorang lelaki (suspek) berusia 33 tahun telah memandu secara gopoh dan mengekori mangsa, memberhentikan secara mengejut serta menghalang laluan yang berpotensi membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kejadian itu berlaku pada 27 Disember 2025 yang dirakam melalui rakaman papan pemuka dashcam kereta mangsa dan berlaku salah faham antara kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek telah membuat permohonan maaf menerusi platform media sosial dan menyerahkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bagi membantu siasatan.
“Rakaman percakapan suspek telah diambil bagi membantu siastaan dan suspe seterusnya diberi jaminan polis sementara siasatan diteruskan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan (memandu secara gopoh) dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan (halangan salah).
“Bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik IPD Subang Jaya turut membuka kertas siasatan dibawah Rule 16 LN 166/59 berkaitan kesalahan halangan lau-lintas,” jelasnya.
Terdahulu tular rakaman berdurasi satu minit 32 saat memaparkan mangsa sedang memandu sebelum terserempak dengan seorang lelaki yang menaiki kereta mewah berdiri di tengah-tengah jalan. – MalaysiaGazette
















