PUTRAJAYA – Penantian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh untuk membersihkan namanya membuahkan hasil apabila Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memfitnahnya berkaitan isu Kristianisasi.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata, selama enam tahun beliau terpaksa hidup dengan pelbagai pembohongan dan fitnah yang berlegar di media sosial yang bukan sahaja mencemarkan nama baiknya malah turut mengelirukan orang ramai.
Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, kes tersebut bermula apabila Musa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) antaranya dengan mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan gerakan Kristianisasi.
Dalam kenyataan yang dibacakan kepada pihak media, Hannah berkata, Musa memfitnah dengan mengaitkannya dengan kumpulan Evangelis dan golongan Yahudi.
“Tuduhan tersebut dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara yang diharapkan bertindak dengan lebih cermat serta berasaskan fakta yang sahih dan bukannya dakwaan mengelirukan serta mencetuskan persepsi yang salah.
“Saya amat bersyukur dan gembira dengan keputusan mahkamah hari ini. Saya menzahirkan rasa syukur kepada tuhan serta merakamkan penghargaan kepada barisan peguam yang terlibat sepanjang proses perundangan ini.
“Kini tumpuan saya adalah untuk terus melaksanakan amanah kepada rakyat dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan. Semoga saya terus memuliakan Tuhan melalui khidmat saya kepada rakyat,” ujar beliau selepas prosiding di Istana Kehakiman hari ini.
Hannah mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuannya serta memerintahkan bekas Ketua Polis Negara membayar ganti rugi RM250,000 serta kos RM60,000.

Mengulas sama ada beliau berpuas hati dengan jumlah gantirugi yang diputuskan oleh mahkamah, Hannah berkata, apa yang penting kini terbukti segala kenyataan terhadapnya adalah satu pembohongan.
“Saya rasa mahkamah telah buat keputusan, kami memohon jumlah ganti rugi lebih daripada itu berdasarkan kerosakan yang saya alami enam tahun lalu.
“Namun kami menghormatinya. Penghakiman ini diharap dapat menghentikan tindakan pihak-pihak yang menggunakan isu palsu melibatkan perkauman dan agama untuk menakut-nakutkan pengundi,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakilinya, Datuk S. Ambiga menyifatkan penghakiman tersebut sangat komprehensif kerana ia menyentuh segenap aspek berkaitan saman fitnah.
Menurut beliau, penghakiman itu antara lain menyimpulkan bahawa kenyataan Musa dalam forum tersebut adalah palsu.
Ujar Ambiga, bekas Ketua Polis Negara itu bukan sahaja tidak berjaya menjustifikasikan komen yang dibuatnya malah gagal memenuhi pembelaan yang diperlukan bagi membuktikan kenyataannya bukan fitnah.
“Ini adalah `pertarungan’ yang panjang bagi Hannah dan saya berpendapat penting untuk kita membaca penghakiman mahkamah. Ini bukan mengenai wang, tapi kebenaran,” ujarnya.
Selain Ambiga, Hannah selaku perayu turut diwakili peguam-peguam, Sangeet Kaur Deo, Lim Wei Jiet dan Lee Guo Wen manakala Musa sebagai responden diwakili peguam Nur Jehan Abu Bakar.
Terdahulu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azimah Omar (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) sebulat suara mendapati Musa memfitnah Hannah dalam satu forum UiTM pada 2020.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Disember 2024 yang menolak samannya.
Mahkamah Tinggi memutuskan kenyataan yang dibuat oleh Musa pada 2020 tidak berniat jahat terhadap beliau. Hannah turut diperintah membayar kos RM40,000.
Hakim bicara mempertimbang pembelaan Musa bahawa plaintif sendiri mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia dan ingin menyebarkan agama melalui politik manakala bukunya ditujukan untuk semua orang bukan hanya penganut Kristian.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” di UiTM pada 30 Januari 2020.
Musa, 75, bagaimanapun menyatakan, ucapan itu disampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme. – MalaysiaGazette
















