Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Canselor dan Presiden HELP Universiti, Datuk Dr Paul Chan bergambar selepas menandatangani MOU pada Majlis Menandatangani MOU antara SPRM bersama HELP Universiti dan Pelancaran Forum Tadbir Urus dan Siri Intergriti 2026 di M Resort Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 JANUARI 2026

PETALING JAYA – Sokongan dan bantuan dari pelbagai ahli akademik dari institusi pengajian tinggi (IPT) diperlukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia bagi memastikan dasar integriti dan tatakelola baik seperti yang dirancang oleh agensi antirasuah itu berjaya.

Katanya, SPRM masih memerlukan sumbangan pemikiran dan idea daripada ahli-ahli akademik negara biar pun tiada jalinan kerjasama persefahaman dengan semua universiti.

“SPRM sebagai agensi pelaksana urusan antirasuah dalam negara juga perlu membantu kerajaan dalam mewujudkan tatakelola yang baik termasuk berkaitan integriti. Banyak perkara berkaitan ini perlu kami usahakan.

“Sebagai Profesor Adjung di beberapa universiti termasuk jalinan kerjasama seperti dilakukan bersama HELP University, sangat memerlukan bantuan daripada ahli-ahli akademik untuk membantu negara dalam urusan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 di sini hari ini.

Pada minggu lalu, Azam dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi bagi Program Doktor Falsafah (PhD)
di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta di Asia e Univeristy (AeU).

Mengulas mengenai MoU bersama HELP University, beliau berkata, ia menjadi hari yang bersejarah dan signifikan kerana kerjasama antara HELP University dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sudah mencecah lebih 16 tahun.

“Banyak perkara telah SPRM sumbangkan dan begitu juga HELP menyumbangkan kepada MACA dan kali ini kita akan lebih aktif serat agresif lagi dengan HELP University dalam membangunkan banyak subjek termasuk jenayah ekonomi dan jenayah kewangan dalam menguruskan hal-hal berkaitan integriti, subjek integriti, tatakelola,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast