Tangkap layar dari hantaran yang tular.

MELAKA – Tular satu hantaran di media sosial mendakwa kewujudan sebuah hotel berkonsepkan gay friendly di Melaka yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet sejak semalam.

Menerusi hantaran ditulis pendakwah bebas itu, Firdaus Wong Wai Hung, beliau membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’.

Penceramah lelaki berketurunan Cina itu turut membandingkan konsep ‘gay friendly’ bersama istilah lain seperti ‘pet-friendly’, ‘family friendly’ dan ‘Muslim friendly’ yang menurutnya kini dijadikan strategi penjenamaan perniagaan.

“Agak kreatif penjenamaan. Label ‘Muslim friendly’ pun boleh dijadikan bisnes, apatah lagi ‘gay friendly’. Lepas ni apa pula idea kreatif akan muncul? ‘Babi friendly’ atau ‘LGBT friendly’?

“Ingatkan sukan je ada ‘friendly’ ‘friendly’ ni. Tak sangka pula ‘gay’ pun ada ‘friendly’ secara terbuka ya,” tulisnya secara sinis dalam hantaran berkenaan.

Tangkap layar dari hantaran yang tular di media sosial Thread pendakwah bebas Firdaus Wong.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk pandangan yang mengkritik keras konsep tersebut, selain ada yang terkejut dengan keterbukaan menerima Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) itu.

“Hapus sahaja hotel itu. Tidak bermaslahat buat kami,” tulis seorang pengguna media sosial, manakala seorang lagi bertanya, “Hotel mana ni?”

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan beliau telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan yang tular itu.

“Saya sudah minta JAIM siasat terlebih dahulu dan kita idak boleh buat sebarang keputusan awal sehingga maklumat jelas dan bukti diperoleh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast