Ramanan Ramakrishnan (tengah) dan Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia (kelima dari kanan) semasa lawatan kerja rasmi pertama mereka di HRD Corp.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengecualikan pembayaran Levi Pembangunan Sumber Manusia bagi majikan berdaftar dalam sektor pendidikan swasta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pelaksanaan ini selaras dengan keputusan kerajaan yang dibuat pada tahun 2025.

Pengecualian ini berkuat kuasa selama satu tahun, dari Januari 2026 hingga Disember 2026, meliputi institusi pendidikan swasta termasuk prasekolah, sekolah, institusi vokasional dan penyedia pendidikan tinggi.

Menurutnya, langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,500 majikan, dengan anggaran pelepasan levi melebihi RM35 juta.

Ramanan berkata, pengecualian ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan Malaysia dengan memastikan institusi kekal berdaya tahan, terus melahirkan bakat berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan, serta menjamin kesinambungan dan kualiti penyampaian pendidikan.

“Sebagai tonggak asas kepada pertumbuhan negara, sektor pendidikan memainkan peranan kritikal dalam membangunkan bakat masa hadapan dan memperkukuh saluran modal insan jangka panjang Malaysia.

“Langkah ini mencerminkan fokus Kerajaan Madani dalam mempertingkatkan pembangunan bakat dan tenaga kerja, serta komitmen kami untuk menyokong ekosistem pendidikan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan berkata, pihaknya menyokong keputusan itu dan akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Kita akan memudah cara pelaksanaan inisiatif tersebut dengan memastikan institusi pendidikan yang layak mendapat manfaat daripada langkah itu demi memperkukuh sektor pendidikan,” ujarnya.

Di bawah kerangka levi sedia ada, bayaran levi bagi Januari 2026 lazimnya perlu dibayar pada atau sebelum 15 Februari 2026, manakala bayaran levi bagi Disember 2026 perlu dibayar pada atau sebelum 15 Januari 2027.

Institusi yang layak akan dikecualikan daripada pembayaran levi tersebut bagi tempoh yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast