Masing-masing mereka terdiri daripada empat Asisten Superintendan serta dua sarjan termasuk seorang pesara.

GEORGE TOWN – Enam pegawai dan anggota polis termasuk seorang pesara direman selama lima hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah agar tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan pusat hiburan, pusat urut dan judi haram.

Masing-masing mereka terdiri daripada empat Asisten Superintendan serta dua sarjan termasuk seorang pesara.

Perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia lingkungan 40-an hingga 60-an itu dikeluarkan Majistret Shyahirah Abdul Salim bermula hari ini sehingga 18 Januari depan.

Dua ASP masing-masing berusia 45 dan 56 tahun diwakili peguam A. Mahesh dan K. Mahendran manakala baki diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 9 pagi memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna oren serta dengan diiringi pegawai siasatan.

Menurut sumber, kesemua mereka ditahan antara jam 11 pagi hingga 5 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap  pusat hiburan, pusat urut dan judi haram yang melakukan kesalahan undang-undang.

“Siasatan awal mempercayai kesemua mereka  melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2016 hingga 2021 dengan menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 setiap bulan.

“Suspek disyaki telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun pihak ketiga daripada pemilik syarikat pinjaman wang berlesen dan perkhidmatan kesihatan manusia,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis berpangkat ASP direman kes rasuah lebih RM20,000

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah suspek yang ditahan setakat ini seramai tujuh orang selepas semalam seorang pegawai polis berpangkat ASP ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM27,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast