Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sebagai Barisan Nasional (BN) yang membina kekuatan sendiri serta menawarkan satu pasukan yang dominan kepada rakyat.

Berucap merasmikan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam ini, beliau berkata, UMNO mahu memenangi PRU-16 berdasarkan kepercayaan rakyat terhadap pengalaman dan keupayaan parti itu mengurus negara.

“Kita mahu menang bukan atas ihsan orang, tetapi kerana rakyat percaya UMNO adalah parti yang tahu dan paling berpengalaman mengurus negara ini,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh.

Mohamad berkata, UMNO kini berdepan cabaran besar dengan wujudnya pandangan yang meramalkan parti itu akan tewas dan menyifatkan PRU-16 sebagai ‘kubur’ UMNO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengibarkan bendera UMNO pada Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

Bagaimanapun, katanya, UMNO adalah parti yang pernah jatuh tetapi tidak pernah mati.

Sehubungan itu, beliau menggesa para perwakilan supaya kembali ke cawangan masing-masing untuk memperkukuh saf dan membuat persiapan menghadapi PRU-16.

“Kita bersiap sedia bukan untuk jadi kawan atau penumpang, tetapi untuk kembali menjadi induk semula di tanah air ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan UMNO akan terus memperkukuh peranan dan kedudukannya dalam landskap politik negara menjelang PRU-16. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast