TNB, EDL dan EGAT, hari ini menandatangani Energy Wheeling Agreement Fasa 2 di bawah Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura Fasa 2.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB), Electricite Du Laos (EDL) dan Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT), hari ini menandatangani Energy Wheeling Agreement Fasa 2 (EWA Fasa2) di bawah Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapore Fasa 2 (LTMS-PIP 2.0).

Perjanjian ini bagi memudah cara pembekalan tenaga boleh baharu sehingga 100 megawatt (MW) dari Laos ke Singapura, dengan Thailand dan Malaysia bertindak sebagai penghantar tenaga.

EWA Fasa 2 akan terus memperkukuh kerjasama tenaga dalam kalangan negara ASEAN sebagaimana digariskan di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG), serta mempercepatkan agenda peralihan tenaga rantau ini dengan membolehkan integrasi tenaga bersih yang lebih besar di dalam sistem kuasa ASEAN yang saling terhubung.

Perjanjian terbaharu ini melengkapkan pelaksanaan penuh LTMS-PIP 2.0, meningkatkan jumlah kapasiti dagangan elektrik daripada 100 MW kepada sehingga 200 MW, dengan bekalan tenaga tambahan disalurkan dari Malaysia ke Singapura.

Perjanjian dua tahun ini membolehkan penjualan, penghantaran dan pembelian elektrik yang dijana di Laos ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia menggunakan kemudahan rangkaian grid sedia ada di negara masing-masing.

Majlis pemeteraian perjanjian ini telah diadakan di Ibu Pejabat EGAT di Nonthaburi, Thailand dan dihadiri oleh Timbalan Pengarah Urusan EDL, Souksavart Sosouphanh; Gabenor EGAT, Dr. Narin Phoawanich; dan Ketua Pegawai Grid TNB, Hasmarizal Hassan.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Thailand, Dr. Prasert Sinsukprasert; Ketua Pengarah Jabatan Dasar, Perancangan, Pembangunan dan Penilaian, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Laos, Santisouk Phimphachanh; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Mareena Mahpudz.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Undang-Undang – Jabatan Perjanjian EDL, Chittasone Nanthalath; Timbalan Gabenor – Operasi Sistem Penghantaran EGAT, Sanay Treekhan; dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, EWA Fasa 2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memajukan agenda APG, memperkukuh tadbir urus pelbagai hala dalam kalangan negara anggota ASEAN dan mempromosikan perdagangan elektrik rentas sempadan di rantau ini.

“Sebagai pemain utama dalam APG, TNB kekal komited mempertingkatkan keselamatan tenaga serantau sambil menerajui agenda peralihan tenaga.

“Malaysia telah secara konsisten menyatakan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama tenaga di rantau ini,” katanya.

Souksavart berkata, EDL turut berbesar hati untuk meneruskan kejayaan LTMS-PIP.

“Sebagai perintis dalam pembekalan tenaga bersih ke rantau ASEAN melangkaui negara jiran, kami berbangga menjadi aset dalam merealisasikan APG.

“Kami berharap projek ini akan memajukan visi APG dan kami menantikan agar lebih banyak negara terlibat demi menyokong keselamatan tenaga bersih serantau dan pembangunan mampan,” katanya.

Sementara itu, menurut Narin, pemeteraian EWA Fasa 2 menandakan langkah penting ke arah merealisasikan visi APG dan satu kemajuan strategik dalam kerjasama tenaga serantau antara Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura.

“Dengan meningkatkan kapasiti perdagangan tenaga elektrik rentas sempadan, kita memperkukuh keselamatan tenaga serantau melalui perkongsian sumber bagi memenuhi permintaan tenaga Asia Tenggara yang semakin meningkat, di samping meningkatkan daya tahan grid dan mempercepatkan peralihan tenaga di rantau ini,” ujar beliau.

Pada September 2024, TNB telah memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga (ESA) dengan Keppel Electric Pte. Ltd. bagi membekalkan elektrik ke Singapura di bawah fasa pertama LTMS-PIP 2.0.

EWA Fasa 2 mengukuhkan lagi kerjasama ini dengan menyediakan rangka kerja wheeling yang diperlukan untuk membolehkan penghantaran tenaga boleh baharu merentas sempadan secara selamat, sekali gus mengukuhkan usaha kolektif ASEAN ke arah peralihan tenaga, kelestarian dan daya tahan tenaga jangka panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast