KUALA LUMPUR – Seorang bekas ejen insurans didenda RM14,000 kerana menipu sebuah bank untuk mendapatkan pinjaman khas sebanyak RM150,000 yang ditawarkan kepada pekerja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lapan tahun lalu.
Ahmad Nadzri Ab Razak, 39, yang kini menganggur dikenakan hukuman oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pilihan.
Hakim Norma Ismail memerintahkan lelaki tersebut dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagi pertuduhan pilihan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa menipu sebuah bank untuk meluluskan pinjaman khas yang ditawarkan kepada pekerja LHDN.
Sementara pertuduhan pilihan kedua, dia didakwa menipu bank sama dengan menggunakan dokumen penyata gaji, akaun bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), cukai pendapatan tahunan, surat pengesahan majikan dan pas pekerja LHDN yang diketahui palsu.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Wangsa Maju, di sini di antara pukul 8 pagi dan 5 petang, 1 September dan 31 Oktober 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, bahagian pusat hubungan dan khidmat pelanggan bank terbabit menerima aduan berhubung penerimaan surat yang dialamatkan kepada individu yang tidak berkerja di LHDN.
Bimbang sekiranya alamat LHDN telah disalahgunakan, pegawai bank berkenaan membuat laporan polis pada 24 Jun 2020.
Hasil siasatan mendapati permohonan pembiayaan itu dibuat di bawah pakej pembiayaan khas kakitangan LHDN dan tertuduh disyaki tidak berkerja dengan pihak agensi pentadbiran cukai terbabit.
Sebelum itu, jiran tertuduh diperkenalkannya kepada seorang lelaki untuk menguruskan permohonan pinjaman berkenaan.
Tertuduh memberi maklumat kepada lelaki itu lalu melantik seorang lagi lelaki untuk mengubah suai semua dokumen permohonan pinjaman berkenaan.
Setelah siasatan polis dibuat, tertuduh didapati disenarai hitam bagi pinjaman RM30,000 dan tertuduh telah ditangkap pada 20 November 2023.
Semasa prosiding, peguam, Subash Ramasamy yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan denda pada kadar minimum kerana perlu menyara anak berusia 11, lapan dan lima tahun bersama isteri.
“Penglibatan Ahmad Nadzri dalam kes ini sangat terhad kerana niatnya hanya mahu membuat pinjaman bank ekoran kesempitan wang.
“Kes ini menjadi titik hitam pertamanya, jadi selepas ini dia mahu membuka lembaran baharu untuk menjadi seorang insan lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.
“Walaupun terdesak mahu mendapatkan pinjaman namun dia perlu melakukan perkara yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette















