TEL AVIV – Satu gempa bumi bermagnitud 4.2 pada skala Richter berlaku di selatan Israel pada Rabu.
Ia mencetuskan amaran keselamatan di beberapa kawasan termasuk Laut Mati dan wilayah Negev selatan.
Bagaimanapun tiada laporan ia melibatkan mangsa, menurut The Times Of Israel.
Menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC), pusat gempa dikesan berhampiran Dimona, sebuah bandar yang terletak di kawasan padang pasir Negev.
Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kemalangan akibat gempa tersebut setakat ini.
Pihak berkuasa tempatan turut memaklumkan sistem pemantauan seismik negara berada dalam keadaan berfungsi dan terus menilai kemungkinan berlakunya gegaran susulan, walaupun setakat ini tiada amaran tambahan dikeluarkan. – Agensi
















