Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menunjukkan barangan rampasan pada sidang media khas mengenai rampasan melibatkan bekas panglima angkatan tentera di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas aset bernilai RM11.4 juta merangkumi wang tunai, jam tangan mewah jenama Rolex, emas serta kenderaan mewah berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sitaan tersebut melibatkan wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, sebuah kenderaan jenis Range Rover bernilai kira-kira RM360,000, serta 26 unit jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.

“Kebanyakan jam tangan yang disita adalah jenama Rolex dan kita telah membuat pengenalpastian bahawa jam-jam ini adalah tulen,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Menurut beliau, SPRM turut merampas barangan kemas bernilai RM294,039, dua cincin perhiasan bernilai RM20,000, serta jongkong emas seberat 3.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta mengikut harga semasa.

“Selain itu, kita turut menyita jongkong emas seberat 150 gram bernilai RM102,000 serta dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780,” katanya.

Azam memaklumkan, keseluruhan nilai sitaan fizikal berjumlah RM11.4 juta, manakala sebanyak 75 akaun syarikat dengan nilai keseluruhan RM32.5 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan.

Sitaan tersebut dibuat di dua lokasi utama iaitu sebuah kediaman di Kuala Lumpur dan sebuah lagi rumah di Besut, Terengganu, hasil maklumat risikan yang diterima SPRM.

“Pegawai saya terpaksa ke Terengganu dua kali bagi mendapatkan barang-barang kes ini berdasarkan maklumat yang diterima.

“Kita pamerkan barang-barang ini bukan untuk showcase, tetapi sebagai barang bukti supaya maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah betul,” tegasnya.

Azam turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa mereka adalah pemberi maklumat sehingga membawa kepada rampasan berkenaan.

“Kalau ada pihak mengatakan dialah yang memberi bantuan atau maklumat, itu tidak benar. Ini adalah hasil tindakan dan perisikan pegawai SPRM,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan dan aset yang dirampas akan digunakan sebagai bahan bukti penting sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan SPRM mendapati, terdapat aktiviti penerimaan rasuah secara terancang berlaku dalam kalangan pegawai tentera.

Sumber memaklumkan, siasatan SPRM turut mengesan beberapa pegawai tentera dipercayai memainkan peranan dalam kes berkenaan.

Difahamkan, SPRM ketika ini memberi tumpuan untuk menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian rasuah yang berlaku dalam agensi terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.