Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia( WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini laungan dan rayuan supaya UMNO menetapkan kuota 30 peratus wanita dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan masih belum menjadi realiti.

Malah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, parti itu juga masih gagal mengemukakan calon wanita termasuk daripada sayap parti itu dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ujarnya, meskipun sebagai sayap parti, namun Puteri UMNO turut memainkan peranan yang signifikan.

“Komitmen yang terus dilafazkan berkali-kali tapi masih belum kita tepati. Ini merangkumi seluruh Wanita dalam UMNO termasuk kekanda-kekanda kita dalam Wanita UMNO yang sekian lama berjuang tanpa terkecuali.

“Mana calon Puteri? Sampai bila kita perlu mengemis hak ini?Kenapa kami didiskriminasi?

“Apa lagi yang kami tidak beri kepada parti? Bila Puteri nak diketengahkan, mestilah cukup syarat itu dan ini. Tapi bila lelaki nak jadi calon, hilang deposit pun tak peduli,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.

Katanya, suara dan permintaan Puteri sering diendahkan sehingga perlu mengalah saban tahun.

Nurul Amal berkata, UMNO perlu berani mengemukakan calon dalam kalangan wanita, sekiranya mahu membuat perubahan.

Tegasnya lagi, peluang di antara lelaki dan wanita sepatutnya dibagi sama rata,

“Setakat menahan rasa tidak sudah sudah. Tapi sampai bila? Hari ini, kita tuntut betul-betul. Hari ini kita mahu suara kita didengar.

“Cuba beri peluang kepada kami, tidak kiralah di PRK, PRN. Jangan sekadar mengisi.

“Kita tengok Kembali ke belakang UMNO pernah menjadi platform yang membawa pemimpin muda ke hadapan. Kalau dulu kita boleh buat, kenapa tidak sekarang?,” tambahnya.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO itu turut menyuarakan cadangan supaya had umur untuk keahlian sayap parti berkenaan ditambah kepada 40 tahun.

Ujarnya, cadangan tersebut perlu disokong demi survival masa depan Puteri UMNO.

” Namun sehingga hari ini, kita masih menunggu satu keputusan muktamad daripada pengurusan tertinggi parti…Dunia hari ini telah berubah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast