KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya tidak wujud pandangan serong terhadap mana-mana kementerian atau pasukan keselamatan yang terbabit dalam salah laku pelaksanaan projek kerajaan.
Perdana Menteri berkata, kelemahan yang dikenal pasti hanya melibatkan segelintir pegawai tertentu dan ia tidak mencerminkan keupayaan keseluruhan penjawat awam, termasuk anggota tentera dan polis yang telah banyak berkorban demi negara.
“Seperti dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam, masih terdapat beberapa kementerian yang belum memenuhi sepenuhnya harapan kerajaan dalam melaksanakan projek yang dipertanggungjawabkan.
“Walaupun berbanding tahun-tahun yang sebelumnya, prestasi itu baik, saya harus akui.
“Seperti mana isu rasuah, ia membabitkan segelintir kecil. Saya mahu rakan di pasukan keselamatan, tentera dan polis berasakan mereka keseluruhannya sangat berwibawa, sangat cekap, banyak pengorbanan,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid di Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tindakan perlu diambil kepada pegawai-pegawai tertentu yang terlibat, bukan menghukum keseluruhan kementerian atau pasukan.
“Sama dengan kementerian. Bila ada gesaan supaya prestasi diperbaiki, ini tidak menunjukkan bahawa keseluruhannya dan harus ada beberapa tindakan yang harus disegerakan terutama projek-projek kecil rakyat.
“Umpamanya saya di sini, kawan-kawan saya bincang dengan Ahli Parlimen dan juga pimpinan masyarakat, apa yang diperlukan segera?
“Bukan tertumpu kepada projek-projek besar, tetapi, hanya projek-projek yang secara langsung memberi keringanan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, Shamsul Azri mendedahkan 14 ketua setiausaha akan dipanggil memberi penjelasan berhubung kegagalan kementerian masing-masing mencapai sasaran pelaksanaan pembangunan projek fizikal tahun lalu.
Tanpa memperincikan kementerian dimaksudkan, beliau berkata, pencapaian perbelanjaan pembangunan asas (DE Asas) negara tahun lalu hanya mencapai purata nasional 87.91 peratus.
“14 kementerian terbabit dikesan berada bawah purata nasional. Projek fizikal berkenaan bersifat kepentingan rakyat seperti pembinaan dan baik pulih infrastruktur jalan raya, sekolah, klinik dan hospital. Projek memang dilaksanakan, tetapi berjalan perlahan.
“Sebab itu ia mencapai 87 peratus sahaja. Duit (peruntukan) kita beri, tapi tak pakai, jadi rugilah. Sepatutnya duit itu kita boleh memanfaatkan untuk benda lain. KSU 14 kementerian ini saya akan panggil dan akan beri kesan kepada penilaian prestasi Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP),” tambahnya. – MalaysiaGazette
















