KUALA LUMPUR – UMNO perlu bangkit dan keluar dari nostalgia kegemilangan parti itu dan menerima hakikat majoriti orang Melayu sudah tidak bersama parti itu lagi.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa, sokongan orang Melayu kepada parti itu ketika hanya sekitar 28 peratus sahaja.
Justeru, Ketua UMNO Bahagian Bera itu menyambut baik ucapan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terutamanya penekanan beliau terhadap penyatuan dan bukan pemisahan bagi memperkukuhkan UMNO.
“Pagi ini, saya menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, WTC, Kuala Lumpur. Dewan penuh dengan semuanya berbaju merah memperlihatkan semangat juang yang tinggi oleh setiap perwakilan dari seluruh negara.
“Dalam keadaaan hari ini, penyatuan ummah Melayu amat penting bagi memastikan kedudukan agama dan bangsa tidak terancam.
“Gagasan Pintu Rumah Bangsa yang dibawa oleh YAB Presiden ini akan membuka ruang penyatuan, merapatkan jurang perbezaan dan menyatukan kembali kekuatan politik Melayu termasuk membawa masuk kembali mereka yang berada ‘di luar’.
“Namun, saya berharap semua pihak benar-benar ikhlas dan jujur untuk melaksanakan agenda besar ini demi agama, bangsa dan tanah air,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
Presiden UMNO itu berkata, ia bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke dalam parti itu selaras dengan peranan dan tanggungjawan UMNO sebagai `rumah bangsa’ iaitu medan untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu.















