Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Hasan berucap pada Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 2026 di Auditorium Jakim, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menjunjung titah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membantah penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang dijadual diadakan di Hulu Langat, Selangor.

Menurut beliau, sebarang langkah pemantauan serta tindakan lanjut akan dirujuk dan diserahkan kepada pihak berautoriti untuk tindakan sewajarnya.

“Kita menyokong sepenuhnya titah Tuanku dan insya-Allah kita berdoa agar segala perkara ini dapat ditangani dengan baik, selaras dengan dasar serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,”.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-25 IKIMfm & Kempen Mahabbah MADANI Ramadhan 1447H serta Siaran 25 Jam IKIMfm@Menara Merdeka 118 di Masjid Al-Sultan Abdullah, Menara Merdeka 118 KL, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan organisasi Jejaka yang menganjurkan ‘Glamping with Pride’ mengambil keputusan tidak meneruskan program atas faktor keselamatan.

Ia susulan bantahan yang disuarakan pelbagai pihak yang menyifatkan acara tersebut sebagai usaha untuk menormalisasikan budaya songsang.

Malah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut bertitah menentang dan membantah keras terhadap penganjuran sebarang aktiviti songsang dan melanggar nilai moral rakyat Malaysia.

Sementara itu, menjawab pertanyaan mengenai kehilangan pelakon, Nadia Kesuma yang dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast