Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak kini menggunakan kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) dalam operasi penguatkuasaan sebagai langkah meningkatkan ketelusan antara anggota dan orang awam ketika Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar-Jalan Sultan Azlan Shah dekat Tasek, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 16 JANUARI 2026.

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak kini mula melaksanakan pemakaian kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) kepada anggota penguat kuasa ketika operasi penguatkuasaan di lapangan.

Timbalan Pengarah JPJ Perak, Mohd Azmi Jaafar berkata, perolehan pertama BWC yang diterima JPJ Perak pada November lalu membabitkan 14 unit BWC.

Katanya, daripada jumlah itu lapan unit ditempatkan di JPJ Ipoh, empat unit di JPJ Cawangan Taiping sementara dua unit lagi ditempatkan di Stesen Penguatkuasa Kuala Kangsar.

“Penggunaan peranti BWC ini bertujuan untuk merakam semua interaksi antara anggota penguatkuasa dengan pengguna jalan raya.

“Rakaman ini bukan sahaja untuk melindungi hak pengguna, malah untuk melindungi anggota penguatkuasa daripada salah faham, tuduhan yang tidak berasas, serta dakwaan salah laku,” katanya.

Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak kini menggunakan kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) dalam operasi penguatkuasaan sebagai langkah meningkatkan ketelusan antara anggota dan orang awam ketika Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar-Jalan Sultan Azlan Shah dekat Tasek, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 16 JANUARI 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar-Jalan Sultan Azlan Shah dekat Tasek di sini pada Jumaat.

Mohd Azmi berkata, selain operasi di lapangan, peranti BWC itu turut adakan dipasang pada anggota yang bertugas di kaunter JPJ serta premis Institut Memandu (IM) bagi pemantauan interaksi anggota sama ada dengan orang awam atau calon ujian.

Tambah beliau, peranti berkenaan beroperasi secara ‘real-time monitoring’ atau pemantauan masa nyata selain ia tidak boleh ditutup sesuka hati oleh anggota kecuali di kawasan sensitif mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Mengikut prosedur, kamera berkenaan tidak boleh dengan sesuka hati untuk ditutup tanpa sebarang kebenaran.

Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak memeriksa penunggang motosikal ketika Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar-Jalan Sultan Azlan Shah dekat Tasek, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 16 JANUARI 2026.

“Peranti itu akan mula aktif daripada mula anggota bertugas, sehingga ia selesai tugas.Jika kamera ditutup tanpa sebab dibenarkan, isyarat akan dihantar terus ke ibu pejabat sebagai langkah kawalan,” katanya lagi.

Pada Oktober tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, sebanyak 100 unit kamera badan akan digunakan dengan melibatkan pegawai penguat kuasa di ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta.

Kata beliau, inisiatif itu merupakan langkah strategik Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ dalam memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast