KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengambil proaktif dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti pendidikan tinggi negara apabila melantik 13 pegawai sebagai Pegawai Yang Diberi Kuasa (PYDK) di bawah Bahagian XIII, Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pelantikan kumpulan berkenaan yang disertakan dengan pemberian kad kuasa adalah signifikan bagi memastikan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini mematuhi peraturan serta melaksanakan tanggungjawab seperti yang ditetapkan.
Beliau berkata, langkah itu dibuat susulan kebimbangan terhadap wujudnya desas-desus berkaitan salah laku segelintir IPT, termasuk mengambil jalan singkat dalam urusan pengambilan pelajar serta penganugerahan sijil yang bercanggah dengan garis panduan dan peraturan ditetapkan.
“Kualiti pendidikan tinggi negara ketika ini berada pada tahap yang baik dan penjenamaan MQA dipercayai bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa, justeru kita tidak mahu reputasi ini terjejas disebabkan insiden yang tidak diingini oleh segelintir pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan dan kad kuasa kepada Pengarah Kanan Akreditasi, Pengarah Bahagian Akreditasi merangkumi bidang Sains Sosial, Kejuruteraan dan Teknologi, Sains dan Perubatan serta Sastera dan Kemanusiaan, Pengarah Bahagian Audit Institusi, Ketua Unit Integriti dan Penguatkuasaan (UIP) serta enam pegawai UIP.
Turut hadir, Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan), Nabisah Kunheen; Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains Sosial), Zakiah Abdul Wahab; Pengarah Bahagian Akreditasi (Kejuruteraan dan Teknologi), Mohd Ishak Mohd Hussaini; Pengarah Bahagian Audit Institusi, Mazlinawati Mohamed serta Ketua UIP, Kamarul Bakri Abd Aziz.
Mohammad Shatar berkata, kumpulan pegawai yang dilantik itu mempunyai tanggungjawab besar dan berdasarkan terma rujukan (TOR) yang diberikan, mereka mempunyai kuasa untuk menjalankan pemantauan serta pemeriksaan ke atas mana-mana PPT yang disyaki melakukan pelanggaran peraturan.
Dengan pelantikan rasmi, kewujudan kumpulan ini menghantar mesej jelas kepada IPT bahawa mereka tidak lagi boleh bertindak sesuka hati, sama ada secara terbuka atau tersembunyi, katanya.
“Kami mengharapkan dengan adanya 13 pegawai ini, IPT akan lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan kerana pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan.
“Pelantikan ini disifatkan sebagai langkah strategik MQA dalam memperkasa fungsi pemantauan, penguatkuasaan dan jaminan kualiti pendidikan tinggi, selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta 679,” katanya. – MalaysiaGazette
















