KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menerusi pelbagai kementerian berkaitan turut akan menyemak serta menstruktur semula semua proses perolehan bagi memastikan ketelusan dalam sistem sedia ada.
Dalam pada itu beliau menegaskan, kerajaan tidak campur tangan dalam urusan siasatan kes terbabit.
Namun tegasnya, kerajaan memandang serius perkembangan berkaitan rasuah kerana kegagalan mengambil tindakan tegas secara menyeluruh boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.
“Jika RM10 juta atau RM20 juta diambil secara tidak sah, wang itu sepatutnya kembali kepada kerja-kerja pasukan tentera di peringkat bawahan atau projek-projek kecil yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid di Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, beliau akan menunggu laporan terperinci berhubung sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan sedia ada.
Ini termasuk ruang kelulusan perbelanjaan bernilai kecil yang mudah disalah guna oleh jabatan tertentu, termasuk Kementerian Pertahanan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diatas kenyataan tegas dan jelas yang dikeluarkan berhubung isu berkenaan.
Ujarnya, usaha membanteras rasuah memerlukan tekad politik yang kuat serta kerjasama seluruh rakyat.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya sentiasa memahami dan sedar mengenai kesan buruk rasuah terhadap bangsa dan negara.
“Di Parlimen umpamanya, apabila tindakan diambil terhadap mantan-mantan menteri yang mempunyai kekayaan berbilion…kadang-kadang kita disanggah dan tidak diberikan kerjasama.
“Budaya buruk dan merosakkan ini mesti diperbaiki segera,” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita sejumlah barangan daripada dua kediaman bekas Panglima Tentera Darat (PTD) termasuk satu di rumah rahsia yang terletak di Kuala Lumpur.
Antara sitaan dalam kes ini ialah RM4.4 juta wang tunai, RM1.4 juta mata wang asing, seunit kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 dan 26 jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.
Turut disita barang kemas bernilai RM294,039, dua cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780.
Sitaan dilakukan di sebuah residensi di Kuala Lumpur dan sebuah rumah di Besut, Terengganu.
Operasi itu dinamakan Op Parasit bermula sejak 23 Dis 2025 terhadap bekas PTD melibatkan transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke beberapa akaun dengan jumlah daripada RM40,000 hingga ratusan ribu.
Azam berkata, siasatan ke atas kes tersebut bermula secara proaktif hasil maklumat awal yang disalurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), susulan laporan seorang pengadu di Balai Polis Dang Wangi.
Beliau berkata maklumat itu, membolehkan SPRM memulakan siasatan lebih awal, iaitu sehari sebelum pengadu membuat laporan polis.
Pada 7 Januari lalu, bekas PTD bersama bersama dua isterinya ditahan SPRM, berkait projek perolehan tender tentera darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari. Bekas PTD itu kemudian dilepaskan daripada tahanan reman pada 12 Januari. – MalaysiaGazette
















